Jumlah Pengunjung

Monday 21 February 2011

damainya berada di rumah


Salam buat semua.

Rumah bagi diriku adalah segala-galanya. Oleh sebab itulah aku sentiasa ingin berada di rumah. Sebaik  tamat masa bekerja aku akan segera pulang ke rumah. Hobiku mengemas rumah dan menanam pokok bunga. Rimas rasanya melihat lantai dan bilik bersepah. Kuajar puteriku supaya rajin mengemas. Setiap malam sebelum tidur aku memastikan rumahku bersih supaya apabila aku terjaga esok hari,yang kulihat menyenangkan hati lantas  hariku bermula dengan sesuatu yang positif.

Kata orang rumah kita adalah syurga kita namun berapa ramaikah di dunia ini yang tidak mengecapi kebahagiaan ini? Kadangkala rumah bertukar menjadi neraka kehidupan. Berapa ramai suami yang mendera isteri? Berapa ramai isteri  yang  tidak  setia? Berapa ramai anak yang membuang ibu bapa dan berapa ramai  ibu bapa yang mengabaikan anak-anak? Semua bermula di rumah.

Alam kubur akan menjadi rumah kedua kita. Adakah alam kubur akan menjadi rumah yang selesa buat kita atau alam kubur menjadi lubang neraka bagi kita? Antara dosa-dosa yang menyebabkan pelakunya diseksa dalam kubur ialah:
1. Orang yang menerima al-Quran tetapi tidak melaksanakan kehendaknya serta lupa dari sembahyang fardhu.
2. Orang yang berdusta
3. Orang yang berzina
4. orang yang memakan riba
5. Orang yang tidak membersihkan diri dari kencing
                                                ( dipetik dari buku Perjalanan Hakiki Setiap Insan)

Oleh itu marilah kita bina kebahagiaan hidup di rumah yang kita huni hari ini dan persiapkan diri untuk menjadi penghuni rumah kedua kita.



Syair Kiamat

Bismillah itu permulaan kalam,
Dengan nama Allah Khalikul'alam,
Dipermulai  kitab diperbuat nazam,
Supaya ingat mukmin dan Islam.

Sudah memuji Tuhan yang kaya,
Salawatkan rasul Nabi yang mulia,
Itulah penghulu segala Anbia,
Sekalian Islam jin dan manusia.

Barang yang maksiat beroleh bala,
Kerana murka Allah Taala,
Di dalam neraka ia tersula,
Badannya hancur tiada terkala.

Dijadikan dunia oleh Tuhanmu,
Bukan di sini akan tempatmu,
Sekadar ibadah dengan ilmu,
Serta amalkan dengan yakinmu.

Barang bercinta akannya mati,
Tidaklah lupa berbuat bakti,
Siang dan malam diamat-amati,
Seumur hidup tidak berhenti.

Harta itu cari olehmu,
Sambil dengan menuntut ilmu,
Serta amalkan dengan baktimu,
Supaya jangan jadi selemu.

Salam Ukhuwah Di Arena Bicara Iman

Firman Allah:
"Dan apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah dia, dan apa yang dilarangNya bagimu, maka tinggalkanlah"
                                                                     (al-Hasyar 59:7)

Selamat  bertemu , selamat berkenalan, selamat menjalin ukhwah. Sebagai umat islam kita dijadikan berbeza supaya kita saling kenal mengenal. Yang muda kenal yang tua, yang tua mengasihi yang muda. Yang muda menghormati yang tua, yang tua menasihati yang muda. Begitulah adab dalam dunia ini. Air sungai mesti mengalir ke laut, air hujan mesti turun ke bumi. Itulah hukum alam. Hidup kita biarlah dikandung adat. Mati dikandung tanah.
Bacalah gurindam di bawah dan fikir-fikirkan
Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.

Cahari olehmu akan guru
Yang boleh tahukan tiap seteru

Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh menyerahkan diri.

Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang setiakawan.

Cahari olehmu akan abdi,
Yang ada baik sedikit budi.