Jumlah Pengunjung

Sunday 27 November 2011

JALAN-JALAN KE PAK BARA THAILAND

Sempena cuti hujung minggu dan cuti Maal Hijrah, Ummi, Iman dan Ayah berkesempatan sekali lagi ke Selatan Thailand. Kali ini destinasi kami memasuki Thailand melalui Wang Klian, Perlis. Kami melalui beberapa tempat seperti Wang Prachan, Tha Phea, Chalung, Satun atau Setol, Langu dan tiba di Pak Bara. Perjalanan agak panjang dengan jalan berbukit di Wang Klian. Urusan di sempadan mudah dan bagi Ummi, jika di bandingkan antara semua pintu sempadan, Wang Klianlah yang paling simple dan senang. Tiada Komplek Imegresen tetapi sederet pejabat yang teratur, tidak sesak dan pengisian borang visa oleh pegawai Siam sendiri. Tiada gerai yang menarik di sebelah Malaysia tetapi ada banyak gerai di sebelah Siam.

Selepas melalui Wang Pracan, kami berjumpa banyak kampung yang dihuni oleh orang Islam. Keadaannya amat berbeza dengan pengalaman Ummi sebelum ini. Majoriti Masyarakat di sini beragama Islam. Setiap 1 km ada masjid. Ayah berhenti sembahyang Jumaat di sebuah masjid  yang tidak langsung tertulis nama Melayu. Berbezanya di sini juga ialah masyarakatnya tidak pandai berbahasa Melayu.



pekan Satun
Apabila tiba di pekan Chalung, kami dapati banyak kedai dan gerai dimiliki oleh orang Melayu Islam. Di atas jalan kelihatan  ramai penunggang  motosikal wanita yang bertudung malah ada juga yang berpurdah. Kami ingin melihat pekan Satun dan jelas kelihatan pekan ini mempunyai banyak sekolah yang besar dan pejabat kerajaan yang moden. Setelah itu kami berpatah balik dan mencari jalan 416 untuk ke Pak Bara.

Perjalanan dari Chalung ke Pak Bara agak jauh juga, lebih 40 km tetapi jalannya lurus dan luas.  Tidak ada banyak kenderaan. Sepanjang jalan kelihatan  penjual goreng pisang beragama Islam. Kami tiba di Pak Bara lebih kurang pukul 4.00 petang waktu Malaysia atau pukul 3.00 waktu Thailand. Kami dapati pantai di sini agak panjang. Ada terminal bot untuk ke Pulau Langkawi, Ko Lipi  dan beberapa pulau lain. Kemudian kami berhenti makan dan Iman ingin tidur di sini. Jadi Ayah mencari chalet dan kami bermalam di Langka Beach Resort. Chaletnya berdepan dengan laut dan  berhawa dingin. Harganya hanyalah RM100. Pemilik resort ini berbangsa Melayu dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Dia menerima duit Malaysia dan ini memudahkan kerja kami kerana kami tidak pun menukar wang semasa masuk tadi. Baki wang Siam dalam perjalanan lepas masih ada untuk kami berbelanja di sini.  Kata pemilik itu juga esok 20 orang dari Malaysia akan datang menyewa di sini.

                                                 Chalet tempat menginap

masjid di Pak Bara
                                                                      Di depan jeti

Dari depan Chalet Ummi melihat keindahan matahari terbenam. Iman memahami tentang pasang surut air laut dan apabila berlaku hujan panas Iman dapat menyaksikan kejadian Pelangi di depan mata. Kaki pelangi berada dalam laut dan begitu indah sekali. Esoknya jam 9 pagi, kami bertolak pulang, singgah makan di pekan Chalung dan membeli buah tangan di Wang Prachan. Seterusnya ke Kangar untuk melihat rumah yang sedang direnovate. Kami tiba di Kuala Nerang jam 2 petang bersama pengalaman yang sangat menarik untuk diingati.

Sunday 20 November 2011

20.11.2011 YANG BERMAKNA UNTUK NAIM

Hari ini Ummi dan Iman menyertai rombongan ke majlis pernikahan anak saudara Ummi ,Naim diadakan di Masjid Kampung Sungai Gelam, Bujang, Bedong Kedah. Ummi ada mesyuarat pengurusan sekolah tetapi Ummi meminta keizinan keluar awal kerana rombongan kami  akan bertolak pada jam 11.00 pagi. Sebelum  itu  Ummi  mengambil Iman di kelas mengaji Quran. Jadi, hari ini agak sibuk.

Majlis akad nikah diadakan selepas sembahyang Zohor.Setelah itu kami  dijemput ke rumah pengantin perempuan  untuk jamuan makan tengahari. Banyak dan sedap lauk pauk yang disediakan. Layanan keluarga pengantin perempuan Syarikin pun baik. Bertuah Kak Nab mendapat besan yang ada semangat persaudaraan dan merendah diri. Dalam Islam semua manusia adalah sama, yang membezakan kita ialah amalan dan darjah ketakwaan kita kepada Allah. Semoga jodoh Naim dan Ikin berpanjangan.


Selepas jamuan, kami jalan-jalan ke Tanjung Dawai dan membeli  barangan berasaskan laut yang terkenal di sana. Kami selamat tiba di rumah jam 6.30 petang. Asmida anak Kak Wahiba mengikut Iman pulang ke rumah dan bermalam di sini. Semoga ikatan silaturrahim antara Iman dan Asmida berkekalan sehingga  mereka dewasa dan mereka menghargai persaudaraan ini.

Saturday 19 November 2011

HARI KELUARGA KOLEJ MARA

Hari ini  kolej ayah mengadakan Hari keluarga bertempat di Puteri Ayu Chalet Yan. Chalet ini berada di kaki Gunung Jerai. Tempatnya agak selesa, luas dan menarik. Iman menyertai beberapa aktiviti  seperti mewarna dan memasukkan air dalam botol. Banyak acara yang diadakan tetapi Ummi lebih suka berbual-bual dengan rakan-rakan. Maklumlah dah nak masuk setengah abad, malas nak berpanas-panas.

Iman juga seronok kerana mendapat cabutan bertuah bagi pihak Ayah. Dapat tempat letak majalah, Jadilah..... rezeki  baik juga tu. Apalagi bila sampai di rumah Iman terus isi dengan buku-buku. Seharusnya pun  begitu sebagai tanda menghargai pemberian orang. Selain itu kami juga dapat  bekas makanan yang comel, bekas air dan beg anyaman tali plastik.Alhamdulillah.





Friday 11 November 2011

11.11.11 YANG HARUS DISYUKURI

Hari ini Jumaat yang penuh dengan kenangan manis. Kenangan manis buat anak saudara Lukman Hakim  yang melangsungkan akad nikah dan Majlis Ihtifal dan  Anugerah Cemerlang untuk puteri yang disayangi Iman.
Oleh kerana majlis akad nikah akan dijalankan selepas Asar di Masjid Bukit Larek, Ummi tidak dapat hadir untuk melihat Iman menerima hadiah. Kami bertolak jam 4 petang dan selepas solat Asar majlis akad nikah pun bermula. Imam nikah sangat tenang pada pemerhatian Ummi. Setelah membaca khutbah nikah dan bertanya beberapa soalan, dengan sekali akad sahaja Fatimah sah menjadi isteri Hakim. Bertambah seorang lagi ahli keluarga. Alhamdulillah bekas anak murid kini menjadi anak saudara.



Ummi tertarik dengan khutbah nikah. Tentang tanggungjawab suami dan isteri. Marilah kita renungkan bersama.
bahawa seorang lelaki pergi ke rumah Amirul mukminin Umar al-Khattab untuk mengadu kepadanya perihal isterinya. Maka dia berhenti di hadapan pintu rumah Umar al-Khattab menunggu beliau keluar. Ketika itu lelaki tersebut terdengar isteri Umar al-Khattab meleteri beliau dan Umar hanya berdiam sahaja. Melihat yang demikian pulanglah lelaki tersebut ke rumahnya sambil berkata sendiri: “jikalaulah begitulah tindakan Umar terhadap isterinya sedangkan umum mengetahui sikap Umar yang garang dan tegas, maka siapalah aku ini.” Akan tetapi Umar ternampak lelaki ini melewati hadapan rumahnya dan lantas memanggil lelaki tersebut bertanyakan gerangan apakah dia mencarinya. Berkata lelaki tersebut: “wahai Amirul mukminin aku datang ke rumahmu untuk mengadu perihal isteriku yang suka meleteriku, akan tetapi aku terdengar isterimu juga meleterimu, sedangkan engkau seorang amirul mukminin. Maka Umar al-Khattab memjawab: “wahai saudaraku, aku berdiam ketika isteriku meleteriku kerana isteriku telah menunaikan segala haknya ke atasku, dialah yang memasakkan untukku, membuat roti untukku, membasuh segala bajuku dan menyusukan kesemua anak-anakku, sedangkkan kesemua itu bukanlah perkara yang wajib dilakukannya. Apabila aku ingat kembali kesemuanya itu aku tidak memarahinya kerana meleteriku. Berkata lelaki itu: “begitu jugalah perihal isteriku”. Jawab Umar: “ingatlah segala jasanya padamu, sesungguhnya keadaan itu hanyalah sementara”. (Khalid Abdul Rahman al-cAk.1997.178).

Di Pusat Asuhan Tunas Islam  AlBasyir berlangsung majlis meraikan kejayaan anak-anak untuk tahun 2011. Iman mendapat hadiah tempat ke-2 untuk kelas 5 tahun. Selain itu Iman juga mendapat hadiah mata pelajaran terbaik dalam Bahasa Inggeris. Hadiah saguhati juga diberikan kepada Iman kerana membuat persembahan  nasyid dalam Majlis. Tahniah dan semoga Iman bersyukur dengan nikmat yang diberikan dan Iman harus ingat apa yang lebih Ummi inginkan ialah  Iman cemerlang sahsiah dan  menjadi anak yang solehah.


Wednesday 9 November 2011

BUNGA-BUNGA PENYERI HALAMAN

Hobi Ummi menanam bunga.Iman pun sudah maklum. Oleh itu Iman selalu berkata "nanti Iman bagi hadiah bunga kat Ummi". Dan....Ummi pun ucapkan terima kasih. Mungkin kerana minat Ummi berkebun, Iman suka menolong Ummi. Walaupun kecil tetapi Iman ringan tulang. Iman selalu menyusun kasut, menyapu sampah dan melipat pakaian sendiri. Semoga kerajinan Iman berterusan menjadi tabiat.
Jadi di sini Ummi paparkan pokok-pokok bunga kesayangan Ummi....


                                                       Orkid sudah berbunga
                                                   Janggut  Jin yang mudah diurus
                                                 tanduk rusa
                                               halaman tempat bersantai
                                            orkid yang ditanam bersama pokok naga
                                                       pasu-pasu gantung
   
                                                          tepi pagar rumah

Monday 7 November 2011

RINDU AKAN LAMBAIAN KAABAH

Bila tiba hari wukuf, hati terasa rindu pada padang Arafah, teringat semasa masuk waktu wukuf ramai terasa mengantuk kerana malam tadi tidak tidur lena. Maklumlah tidur beramai-ramai dalam khemah yang beralas ambal. Rasa teruji diri di sini. Bagi orang yang biasa dalam kemewahan Arafah dan Mina menguji kesabaran. Kita berkongsi bilik air dengan beribu-ribu jemaah lain. Hati perlu kusyuk dan redha, pengharapan hanya kepada Allah untuk dipermudahkan urusan di sana. Mulut sentiasa berdoa. hati sentiasa beristigfar.

 Setelah kembali ke Malaysia, kadang-kadang terasa malu kerana hati ada kalanya tidak bergantung penuh kepada Allah. Timbul keluh kesah menghadapi  kehidupan.Sedangkan sepatutnya jika kita benar-benar beriman, kita meletak keyakinan 100% kepada Allah. Itulah tabiat kita, yang sentiasa turun naik imannya.
Semoga Allah mengizinkan Ummi, Ayah dan Iman menjadi tetamuNya lagi.



Semalam Ummi, Iman dan Ayah beraya di Pondok seperti biasa. Ayah menjadi bilal membaca Khutbah sembahyang raya. Selepas sembahyang raya di pondok diadakan majlis Qurban. 2 ekor lembu dikorbankan. Hari Raya Kedua seekor lagi lembu dikorbankan. Ummi turut serta memasak daging Qurban untuk penghuni pondok. Alhamdulillah semuanya selesai menjelang Zohor. Jadi pada sebelah petang Ummi dapatlah beraya di Bendang Raja.
Sampai jumpa lagi... taqabbalallah huminna waminkum.