Jumlah Pengunjung

Friday 28 September 2012

ALOR SETAR IBU NEGERIKU - KUTINJAU DARI MENARA TELEKOM

Iman pertama kali dibawa menaiki lif di Menara Telekom Alor setar setelah berusia 6 tahun. Jelas bagi Iman, peluang ini agak mengujakan. Dari ketinggian 88 meter Iman meninjau bandaraya Alor setar. Tampak jelas indah bandaraya Alor Setar dengan cuaca yang begitu baik. Dari kejauhan nampak  petak-petak sawah padi menganjur ke kaki bukit bukau.Sekaki payung jadi kenangan tanda kunjungan namun mahalnya harga tiket RM20 untuk tiga orang rasa tidak berbaloi tetapi bila tersedar kos penyelenggaraan yang tinggi dan pengalaman yang dapat ,nilai ringgit menjadi tidak seberapa.



Sunday 16 September 2012

TAIPING ....BANDAR WARISAN

Sempena cuti hujung minggu yang bersambung dengan cuti Hari Malaysia, Ummi, Iman, Asmida  dan Ayah jalan-jalan ke bandar Taiping. Rasanya dalam setahun dua tiga kali juga kami ke bandar Taiping. Almaklumlah, bandar yang penuh dengan nostalgia buat Ummi. Di bandar inilah Ummi ditempatkan sebaik tamat belajar di Universiti.  Taman Kamunting Jaya merupakan rumah sewa pertama kami semasa di Taiping. Ketika itu  sewa rumah teres dua bilik di Kamunting hanya RM120 sahaja. Kemudian kami berpindah menyewa di Taman Simpang apabila Ummi mula mengajar di Sekolah Menengah Simpang pada 4.12.1989. Ummi dan 3 lagi rakan merupakan guru siswazah pertama di Sekolah Menengah Simpang. 2 melayu, seorang Cina dan seorang India. Nama mereka pun Ummi sudah lupa. Jadi apabila kami ke Taiping kelmarin Ummi snaplah gambar sekolah pertama Ummi itu.

Taman Tasik Taiping memang sangat terkenal. Bekas kawasan lombong bijih timah itu tidak pernah sunyi daripada kunjungan orang ramai. Dari awal pagi, Taman Tasik sudah meriah dengan warga Taiping yang rajin bersenam. Yalah...for healty lifestyle. Ummi membawa Iman menaiki feri mengelilingi tasik. Sebenarnya bukan feri betul tapi  pelantar kayu yang berenjin sangkut. Ramai juga pelancong yang menaiki feri ini terutama pelancong dari Kedah dan Kelantan.


Kami bermalam di Hotel Taiping Perdana iaitu hotel baru milik Koperasi Guru-guru Larut Matang dan Selama.  No telefon hotel ialah 05-8082011. Harganya berpatutan. Ada kolam mandi di tingkat 2.
Kami juga ke Kuala Sepetang untuk menikmati Mee Udang Mak Jah yang terkenal itu. Memang sedap..... Dulu, Ummi pernah diajak oleh pelajar untuk menaiki bot di Kuala Sepetang tetapi Ummi tidak berani kerana faktor keselamatan. Ummi juga dapati ketika itu, pelajar kelas Ummi apabila tidak datang ke sekolah mereka memberi sebab terpaksa bekerja mengambil upah mengopek kerang dan ada juga bekerja di kilang arang. Satu hari seorang pelajar menghantar lokan ke rumah kerana disuruh oleh ayahnya. Pernah juga ketika menghantar pelajar pulang ke rumahnya pula, Ibunya memberi beberapa sikat pisang berangan kepada Ummi. Jadi kunjungan Ummi kelmarin benar-benar menggamit nostalgia. Semoga anak-anak murid Ummi telah berjaya dalam hidup masing-masing.

Saturday 1 September 2012

JOHAN HAFAZAN DOA

Hari ini 1 SEPTEMBER 2012,  Pasti  Parlimen Padang Terap telah mengadakan Pertandingan Alam Ria Antara Pasti( Pusat Asuhan Tunas Islam). Iman mewakili Pasti Al-Basyir dalam acara nasyid, Hafazan Doa  dan Surah Pendek. Acara lain yang dipertandingkan dalam program ini  ialah membaca bahan Bahasa Melayu, Inggeris dan Jawi, Azan, Khutbah, Sajak dan Bercerita. Alhamdulillah Iman telah menjadi Johan dalam acara hafazan doa dan mendapat naib johan dalam acara nasyid.




Secara keseluruhan rakan-rakan Iman dari Pasti yang sama menang dalam hampir semua acara yang disertai mereka sekalipun bukan semuanya mendapat johan. Terima kasih kepada Cikgu Basyirah, Cikgu Rahimi dan Cikgu Aisyah atas usaha gigih mereka. Jadi apa yang penting bukan kemenangan tetapi kesungguhan mempelajari dan mengingat apa yang diajar oleh cikgu semasa  dalam kelas seterusnya menanam keyakinan dan keberanian untuk berhadapan dengan khalayak pada masa depan. Tahniah untuk semua dan Ummi harap Iman akan terus berusaha dan mengamalkan apa yang dipelajari dalam kehidupan kerana ilmu tanpa amal tidak berguna.