Jumlah Pengunjung

Monday 8 December 2014

MEMBELI BELAH DI PASAR ATAS BUKIT TINGGI

Hari ke-3 di Bukit Tinggi, kami dibawa ke Lubang Japang yang merupakan kubu bawah tanah yang dibina oleh Jepun semasa mereka menduduki Indonesia dari tahun 1941- 1945. Ia terletak di taman panorama berhadapan dengan Hotel penginapan kami. Sebelum masuk ke lubang Japang, kami dibawa untuk melihat panorama Lembah sianok yang merupakan lembah yang terbentuk hasil letupan gunung berapi beratus-ratus tahun dahulu. Terdapat petempatan  berpuluh-puluh  buah kampung di lembah ini.

Di tebing Grand Canyon ini terdapat lobang Jepang. Kami meneroka lobang Japang dengan bantuan pemandu pelancong yang ada di sana dengan bayaran  RM 5.00 seorang. kubu bawah tanah tersebut agak panjang dan lebih luas berbanding kubu komunis di Thailand. Di dalam lubang tersebut terdapat bilik simpanan senjata, dapur, bilik persidangan atau perbicaraan, bilik membantai pesalah, lokap dan lain-lain. Pada zaman pendudukan Jepun lubang ini adalah rahsia dan dibina dengan kerahan tenaga buruh paksa.Terasa perit derita mangsa yang dibawa masuk ke lobang ini. Sebahagian daripada kubu ini masih dikekal dalam keadaan asal yakni tidak disimen.


Mendapat penerangan dari penunjuk arah

Seterusnya kami dibawa pula ke Pasar Atas untuk membeli-belah. Pasar ini terletak berhampiran jam gadang. Banyak toko di sini dan banyak pilihan barangan dengan harga yang berpatutan.

Seterusnya, kami dibawa ke lekuk 37. Lekuk 37 adalah destinasi untuk menyaksi keindahan Danau Meninjau iaitu danau ke-2 terbesar di Indonesia selepas Danau Toba. 



                                        Di tepi danau ini terletaknya rumah Prof Dr Hamka.

Sunday 7 December 2014

PADANG & BUKIT TINGGI PART 2

Pada hari ke-2 kami  dibawa untuk minangkabau tour. Jam 9 pagi waktu Malaysia, kami menaiki bas menuju ke satu tempat yang bernama Pandai Sikek. Di sini terdapat ramai penenun dan kedai sulaman. Tempatnya terletak di kaki gunung Merapi. Sepanjang jalan pemandangannya sangat indah dan jelas terpancar kerajinan masyarakat di sini menjalankan usaha bercucuk tanam. Mereka menanam pelbagai jenis sayuran selain padi. Sawah padi berselang seli dengan kebun sayur. Khabarnya di sini, padi ditanam 3 kali setahun.



Apa yang menarik di sini yang berbeza dengan tempat lain ialah setiap rumah mempunyai kolam. Di dalam kolam ini mereka membela ikan. Mereka mungkin tidak ingin bergantung dengan orang untuk memastikan keperluan makanan dan kelangsungan hidup. Selain itu bentuk bumbung rumah mereka hampir semuanya sama.
                                                    Pemandangan di Desa Pandai Sikek

Di sini, kami membeli beberapa pasang kain sulaman untuk dibuat baju kurung. Harganya jauh lebih murah berbanding yang dijual di Malaysia. Harga dari serendah RM 40.00 sepasang hinggalah ratusan ringgit bergantung jenis kainnya. Sulaman kain satin paling murah diikuti kain viscos, kain rosella dan seterusnya kain cotton.Sulaman pada kain chifon juga boleh didapati dengan harga yang lebih murah.
Nama Pandai sikek pernah kita dengan dalam lagu ayam den lopeh.
                      Mendaki jalan pandai  Sikek
                      Basimpang jalan ka biaro
                      Di ma ati indak kamaupek
                     Awak takicuah ai ai
                     Ayam den lapeh

                                             Alat penenun songket di Pandai Sikek
                                                              Tasik Singkarak

 Dari Pandai Sikek kami menuju ke  Istana Besar Pagar Ruyong. Di sinilah tapak kerajaan Pagar Ruyong suatu masa dahulu. Menurut Pak Adi, tempat ini dinamakan Pagar Ruyong kerana semasa dahulu terdapat banyak buaya dalam sungai di tepi istana ini. Oleh itu istana ini dipagar dengan kayu ruyong. Tiada yang menarik di sini kecuali bentuk istana itu.

                    Pohon nyiur  yang batangnya berbentuk keris di tepi istana Pagaruyong


                       Iman bergambar kenangan dengan baju yang disewa dengan harga RM10.00
                                                                      Di dalam istana

Seterusnya  kami ke Pondok Flora untuk makan tengahari.  Rumah makan ini terletak di tengah sawah dan terasa nyaman sekali menikmati hidangan sambil menyaksikan pemandangan yang indah.Di tepi restoran ini terdapat orang berjualan dan kami membeli sebiji durian  kampung dengan harga RM7.00.

                                                          Restoran yang bersih
                                            Pondok Flora dari hadapan



Seterusnya perjalanan diteruskan ke Tasik Singkarak yakni tasik yang terbentuk akibat letusan gunung berapi. Di sepanjang jalan di sini penduduk menjual buah kuinin.

                                                                Di tasik Singkarak

Dari Tasik Singkarak, kami bergerak ke kilang kopi kampung. Di sini, kami mencuba teh yang dibuat daripada  daun kopi. Kopi banyak ditanam di sini dan rasanya ada kaitan dengan sistem tanaman paksa semasa pendudukan Belanda di Indonesia.

Selepas makan malam, kami dibawa bersiar-siar menikmati keindahan bandar Bukit Tinggi dan ke tempat tumpuan ramai iaitu di Jam Gadang.

BERCUTI DI PADANG DAN BUKIT TINGGI INDONESIA 1

Alhamdulillah, cuti bulan Disember 2014 dapat dimanfaatkan tahun ini dengan jalan-jalan ke Bukit Tinggi yang terkenal dengan keindahan alamnya dan sebagai tempat membeli belah kain sulam.Padang lebih merupakan kota transit ketibaan dan pulang kerana di sini terletak bandara atau airport Minangkabau.
Kami bertolak dari Alor Setar dengan pesawat MAS jam 8.45 pagi seterusnya menaiki pesawat Air Asia ke Padang jam 2.00 petang. Di sana kami disambut oleh Pak Edward Adi yang menjadi pemandu pelancong kami bersama Andrian dan Sandi. Oleh kerana di atas pesawat, kami tidak dibekalkan dengan borang "arrival and Departure", kami mengambil masa juga untuk mengisi borang tersebut sebelum melepasi  pemeriksaan imegresen. Selain itu, kami juga perlu mengisi borang pengisytiharan barangan dari Jabatan Kastam yang perlu diisi bagi setiap keluarga.



Sebaik meninggalkan lapangan terbang kecil  ini seumpama  lapangan terbang Alor Setar kami dibawa dengan bas Pariwisata untuk makan tengahari di Rumah Makan Lamun Ombak. Seperti mana-mana lawatan di Indosesia, kita dihidangkan dengan nasi padang. Semasa meneruskan perjalanan ke Bukit Tinggi, Pak Adi menceritakan sejarah Padang yang didiami oleh orang Pariaman.Padang terletak di Sumatera Barat. Padang mempunyai 135 bukit yang menjadi barisan sepanjang jalan ke Bukit Tinggi. Terdapat dua buah gunung di Bukit Tinggi iaitu Gunung Singgalang dan Gunung Merapi. Nama gunung Merapi sama dengan gunung Merapi di Pulau Jawa. Gunung Merapi di sini juga masih aktif kerana menurut Pak Adi sesekali penduduk di sini mendengar ngauman dari  dalam gunung tersebut.

Dalam perjalanan , kami singgah di Lembah Anai untuk melihat Air terjun yang terletak di pinggir jalan. Sepanjang jalan terdapat anak sungai yang amat jernih. Kami juga melalui Padang Panjang yang merupakan serambi Mekah kerana bandar ini menjadi bandar pendidikan Islam di sini.Menurut Pak Adi selain Acheh Padang Panjang juga terkenal sebagai kota agama kerana beberapa tokoh seperti Hamka pernah belajar agama di sini. Memang di sepanjang jalan, terdapat nama-nama Allah ditulis di papan-papan dengan cantik. Selain itu apabila masuk waktu sembahyang, masjid-masjid memutarkan alunan bacaan Quran yang bersahut-sahutan kerana bilangan masjid dan suraunya yang sangat banyak. Menurut Pak Adi 95  peratus penduduknya beragama Islam.
Jalan ke Bukit Tinggi.
Kami tiba di hotel  Gran Malindo sekitar jam 8 malam waktu Indonesia.