Jumlah Pengunjung

Saturday 26 September 2015

MENJEJAK KOMUNITI MUSLIM DI KOH SAMUI

Alhamdulillah pada cuti Pertengahan Penggal kedua 2015 Ummi telah memulakan satu lagi perjalanan di Thailand. Kali ini kami berkereta ke Koh Samui. Koh Samui merupakan sebuah pulau yang terletak disebelah  pantai timur di Wilayah Suratthani. Ummi sudah lama mendengar tentang pulau peranginan ini. Untuk ke sini, kita mesti menggunakan pasport.

Oleh kerana raya Haji  jatuh  pada hari Khamis, kami ada 6 hari untuk bercuti sebelum raya. Jadi kami bertolak pada awal pagi melalui pintu sempadan Durian Burung selepas sarapan. Urusan mengecop pasport senang kerana tiada orang lain kecuali kami. Dengan berpandukan Papa Go, kami bergerak menuju Songkhla dan mengambil jalan tepi laut menuju ke beberapa pekan kecil tepi pantai.  Sepanjang jalan terdapat beberapa perkampungan Islam. Masyarakat Islam di Thailand tinggal di tepi pantai kerana pekerjaan utama kebanyakan daripada mereka ialah nelayan. Kami berhenti untuk minum di sebuah kampung Islam di Thasala. Pemilik kedai ini tidak boleh berbahasa Melayu tetapi faham apabila Ummi meminta teh. Di kedainya ada dijual pelbagai jenis roti dan biskut yang dibuat sendiri oleh orang Islam.

Kami bertembung  kelibat geng motor besar Malaysia yang sedang dalam perjalanan pulang ke Malaysia di Thasala. Mereka  ke Koh Samui sempena cuti Hari Malayasia.Antara bandar besar  yang kami lalui  ialah Nakhon Sitammarat.

Kami berhenti  jam 3.00 ptg di sebuah masjid tepi laut berhampiran  Sichon. Berhampiran masjid ini terdapat chalet yang sangat cantik. Oleh itu, kami membuat keputusan untuk bermalam dulu di sini. Pemiliknya seorang warga Thai bukan Islam tetapi bolehlah berbahasa Inggeris setakat menjawab beberapa soalan seperti harga chalet utk satu malam dan makanan halal di situ. Harga chalet berhawa dingin  di situ murah iaitu 600 bath. Di sebelah chalet terdapat 3 gerai muslim. Mereka bersaudara. Salah seorang daripada mereka boleh berbahasa Melayu kerana pernah belajar di Pattani. Terdapat dua buah masjid di kampung ini.


Keesokannya selepas bersarapan dengan roti canai dan roti pisang, kami bertolak ke Donsak untuk menaiki feri ke Koh Samui. Nasib memang menyebelahi kami kerana sebaik sahaja tiba di Seatran terminal, feri sedang menunggu. Kami terus membeli tiket untuk kereta dan penumpang. Harga untuk kereta ialah 400 bath, harga tambang dewasa ialah 120 bath dan harga kanak-kanak ialah 60 bath. Semasa hendak masuk lorong ke feri  guard mengimbas pasport pemandu kereta sebagai langkah keselamatan.


Ada dua syarikat feri untuk ke Koh Samui iaitu Seatran dan Rajaferry. Terminal berlepas untuk kedua-dua feri berasingan. Masa pelayarannya agak panjang iaitu 1 jam setengah. Kami bertolak jam 10 waktu Malaysia dan tiba di sana jam 11.30 pagi. Feri  yang kami naiki sangat besar, 2 atau 3 kali ganda besar berbanding feri Pulau Pinang. Tingkat bawah untuk kenderaan, tingkat 2  utk penumpang ada pendingin hawa dan ada juga bahagian terbuka untuk yang suka menghayati  angin laut. Tingkat 3 juga tempat duduk terbuka.
Tingkat 3 tiada penumpang kerana bau diesel agak kuat 



Selepas lama menunggu akhirnya nampak berbalam pulau yang dituju

bertembung dengan  feri yang menuju ke Donsak City
Sebaik tiba di Koh Samui , kami mencari  tempat makan. Apalagi kami terus menuju ke Kampung Melayu yang terletak di Tanhon. Di sini terdapat 400 orang dan sebuah masjid. Terdapat sebuah restoran Melayu dan chalet di kampung ini. Harga chalet yang berhawa di gin cuma 500 bath saja. Ramai orang Malaysia yang pernah menginap di sini menurut tuan punya restoran ini.