Jumlah Pengunjung

Friday 11 December 2015

ZIARAH DI KOTA MEKAH

Pada hari kedua, syarikat pengendali umrah memberi kebebasan untuk jemaah berehat. Tiada aktiviti yang disediakan. Oleh itu, selepas sarapan pagi, Ummi, Ayah dan Iman membuat keputusan untuk ke masjidil haram lagi untuk membuat tawaf sunat. Apabila kita melakukan tawaf sunat, peluang kita untuk masuk bersolat dalam Hijir Ismail lebih besar. Kebetulan pula pada awal pagi sekitar 7 hingga 9, 00 pagi orang tidak begitu ramai di masjidil haram. Hal ini kerana ramai yang melakukan aktiviti ziarah pada sebelah pagi.  Salah satu perkara yang mesti diingat ialah kita hendaklah sedaya upaya berusaha untuk menunaikan solat wajib lima waktu di masjidilharam kerana ganjaran pahala di sini amat besar iaitu 100000 kali ganda berbanding di tempat lain.

Pada hari ke-3,ke-4 dan ke-5 semua  jemaah kumpulan kami dibawa melakukan aktiviti ziarah pada sebelah pagi  dan pulang semula ke masjidilharam sebelum waktu zohor. Ziarah pertama ialah ke Jakranah iaitu miqat umrah bagi yang ingin melakukan umrah. Dalam perjalanan ke sana, kami dibawa melawat kawasan Mina, Muzdalifah, Jamrah, masjid Namirah dan Jabal Rahmah dan   Jabal Tsur. Selepas itu , kami berhenti di masjid Jakranah untuk sembahyang sunat ihram , sunat dhuha seterusnya berniat umrah.
Khemah-khemah di Mina sunyi sepi selepas musim haji.

Di Jabal Tsur




Di Jabal Rahmah
Pada hari berikutnya kami dibawa ke Hudaibiyah. Dalam perjalanan ke sana kami singgah di ladang unta, Muzium dan ladang kurma. Seterusnya kami berhenti di masjid Sumaisi  atau hudaibiyah. Di sinilah berlakunya Perjanjian Hudaibiyah yang kita pelajari dalam sejarah Islam di tingkatan 5 dan 6 dahulu. Di masjid ini jemaah diminta solat ihram dan berniat umrah kerana berada di luar tanah haram.Di belakang masjid ini ada dijual pelbagai jenis barangan. Hati unta ada dijual di sini. Selain itu buah tin yang dijual secara timbang kilo di sini sangat elok dibeli.


Runtuhan masjid Hudaibiyah yang lama
Di hadapan Muzium
Di dalam Muzium terdapat perigi zamzam

Pada hari seterusnya, kami dibawa pula ke Tanaim untuk berniat umrah. Masjid Tanaim asalnya tidaklah jauh dari Mekah tetapi kerana pembinaan jalan baru maka, perjalanan ke sini menjadi jauh. Masjid ini dikenali juga sebagai masjid Aisyah kerana di sinilah Saidatina Aishah berniat umrah setelah suci dari haid pada zaman rasulullah dahulu. Semasa Ummi menunaikan haji dahulu tempat ini selalu kami kunjungi kerana tambang untuk ke sini 5 Rial sahaja dengan Van atau teksi tetapi sekarang ini tambang teksi telah naik ke 50 rial. .


Thursday 10 December 2015

PENGALAMAN UMRAH MUSIM SEJUK 2015

Alhamdulillah Ummi telah kembali ke tanahair semalam 8.12.2015 setelah berada di tanah suci Mekah dan Madinah selama lebih kurang 12 hari. Kami berangkat ke tanah suci Mekah pada 26 Disember. Bertolak seawal jam 4.00 pagi ke Alor Setar untuk menaiki bas rombongan yang disediakan oleh syarikat umrah yang akan berlepas jam 5.00 pagi.

Tiba di KLIA  pada jam  2.30 petang dan  bersedia untuk check in bagasi  seterusnya menaiki penerbangan Emirates ke Dubai pada jam 7.10 petang. Tiba di Dubai pada jam 1.30 tgh malam dan selepas transit 2 jam bertolak ke Jeddah jam 3.00 pagi dan tiba di sana lebih kurang jam 4.30 pagi.

Sesampai  sahaja di Jeddah bermula satu pengalaman  apabila terpaksa berbaris panjang berjam-jam lamanya untuk mengecop visa dan melalui karenah birokrasi pegawai-pegawai  di terminal ketibaan. Jemaah umrah terpaksa menunggu hampir 5 jam untuk melepasi  proses kelulusan masuk. Hanya 4 kaunter disediakan untuk mengurus ketibaan jemaah di Jeddah. Ummi lihat ada jemaah umrah dari negera-negara Arab, India  dan Malaysia. Jemaah dari negara Arab yang tidak sabar bergaduh sakan dengan pegawai-pegawai Arab Saudi yang bertugas secara  lambat namun pergaduhan mereka menyebabkan proses masuk menjadi semakin lambat. Jemaah dari Mesir pula berusaha memotong barisan jemaah Malaysia.Kesabaran memang sangat mahal di sini. Semoga pada yahun akan datang masalah kelambatan ini dapat diatasi. Kelambatan ini menurut mutawif kami disebabkan sistem baru tentang kemasukan diperkenalkan oleh Arab Saudi pada tahun ini.

Perjalanan dari Jeddah ke Mekah hanya memakan masa lebih kurang 2 jam sahaja. Kami tiba di Mekah hampir jam 3 petang. Terus menikmati makan tengahari dan menjamak solat. Selepas asar Ummi, Ayah dan Iman terus ke Masjidil Haram untuk tawaf umrah dan saie.Ahli-ahli rombongan lain akan dibawa oleh ustaz ke Masjidil Haram selepas solat Isyak. Kami pergi sendiri kerana Ummi dan Ayah mempunyai pengalaman mengerjakan haji pada tahun 2002.

Alhamdulillah setelah melalui perjalanan yang panjang iaitu hampir 38 jam kami berjaya menyelesaikan umrah yang pertama.

Kesimpulan
1. Menaiki penerbangan transit ada baiknya juga kerana tidaklah kita mengalami masalah sakit pinggang duduk lama dalam kapal terbang.
2. Sekiranya urusan kemasukan di Jeddah dilakukan secara profesional dan menggunakan teknologi yang lebih moden seperti di jabatan imegresen kita, urusan akan menjadi lebih cepat  dan kebajikab jemaah lebih terjaga.
3. menyelesaikan tawaf dan saie memakan masa lebih kurang 1 jam setengah.