Jumlah Pengunjung

Friday 13 January 2017

Muzium Tsunami dan Kapal Besi

Selepas sarapan, kami menunggu di lobi hotel kerana pagi  ini kami akan dibawa ke  Muzium Tsunami. Waktu di Aceh lambat 1 jam daripada waktu Malaysia.Kami antara pengunjung yang paling awal tiba di Muzium yang berbentuk kapal ini.Jalan masuk ke dalam muzium agak suspen kerana kita dibawa memasuki terowong yang agak gelap dgn air setinggi  dinding bangunan dan bunyi  suara laut seolah-olah berada di saat  tsunami membadai.
Kemudian tiba di bahagian pameran . menggunakan monitor skrin kita melihat semula gambar-gambar tragedi tsunami. Kemudian melalui  jambatan harapan di mana bendera negara-negara penderma digantung tinggi simbolik terima kasih Aceh kepada negara luar yang bersimpati dengan masalah mereka.Seterusnya melihat tayangan peristiwa tsunami.
Jambatan harapan Muzium tsunami yang berbentuk kapal

Setelah menghabiskan masa 2 jam di sini, kami bergerak pula menuju kapal besi untuk menyaksikan sendiri bagaimana sebuah kapal  besi yang berat  yang terletak di laut dibawa tsunami dan didamparkan di kampoeng Punge Blang Cut yang jauhnya 3 km dari pantai. Kapal PLTD ini adalah kapal yang ditempatkan di persisiran pantai kerana digunakan untuk menjanakuasa bekalan elektrik untuk Banda Aceh.Hal ini kerana sebelumkejadian tsunami bekalan elektrik di Banda sentiasa bermasalah apatah lagi ketika itu penduduk sentiasa dalam ketakutan pada waktu malam kerana suasana yang tidak tenteram akibat persengketaan Gerakan Aceh Merdeka(GAM) dengan tentera kerajaan. Jadi kapal janakuasa ini dikawal oleh tentera.


di atas kapal besi yang lebih dari 3 tingkat.

Ombak tsunami telah menempatkan kapal seberat 80 tan ini di tengah-tengah jalan kampung menyebabkan kini jalan baru  dibina untuk ke kampung ini.Tiba-tiba kami terdengar pengumuman supaya meminta semua pengunjung meninggalkan kawasan kerana waktu solat telah tiba. Begitulah keadaan di Aceh sekarang yang mempunyai kuasa autonomi setelah tragedi 26 Disember 2004 jam delapan kurang lima minit. Aceh kini menjalankan undang-undang syariah. Menurut pemandu pelancong kami Ikram, tsunami membawa seribu rahmat kepada Aceh. Kini Aceh antara bandar paling selamat di Indonesia. Kelihatan topi-topi keledar di letakkan saja bersama motor di tempat parking, Katanya tiada siapa berani mencuri  lagi.

Selepas makan tengahari, kami dibawa pula ke Desa Gurah untuk melihat kubah di tengah sawah. Kubah masjid  dari kampung  sebelah bukit yang  tidak  jauh dari sini  yang dibuat daripada batu berpusar-pusar  di bawa air ketika tsunami dan kemudian didamparkan di sini. Untuk sampai ke sini, kami terpaksa menyewa motosikal dengan harga 15000 rupiah. Sebaik  kami sampai di desa ini, terdengar bunyi  hon motosikal yang tidak berhenti-henti. Rupanya itu isyarat kepada penduduk di sini bahawa ada rezeki untuk mereka. Dalam sekelip mata, puluhan motosikal tiba dan masing-masing berebut pelanggan supaya menyewa motosikal masing-masing. Kain-kain batik, cenderamata  dan kuih tradisional  dirayu  supaya dibeli. 100% mereka adalah  perempuan Ikram menyebutnya sebagai pasar kaget. Sebahagian daripada mereka janda dan anak yatim yang kehilangan suami ketika tsunami.


Petangnya pula, kami ke tepi pantai Uhlele untuk menyaksikan keindahan matahari terbenam dan merasai manisnya jagung bakar dan air kelapa. Seterusnya solat maghrib di Masjid Baiturrahim. Pantai di Bandar Aceh ditutup sebaik malam menjelang untuk mengelak perbuatan maksiat. Masjid Baiturrahim juga adalah masjid yang terselamat semasa tsunami.

Tuesday 10 January 2017

CATATAN KEMBARA ACEH 2016

Penerbangan Fire Fly berlepas dari Pulau Pinang ke Bandara Sultan Iskandar Muda Acheh pada jam  9 pagi. dan mengambil masa 1 jam 45 minit untuk mendarat di bumi tsunami pada tanggal  18 Disember 2016. Hati berdebar-debar kerana baru sahaja terjadi gempa di Pidiejaya Acheh  sekitar dua minggu lepas. Namun kegusaran  sedikit reda apabila pemandu pelancong yang menyambut kami iaitu Pak Karim memberitahu bahawa tempat gempa itu  4 jam perjalanan dari Banda Aceh.

Bandar Udara atau lapangan terbang Aceh dalam bahasa kita merupakan sebuah lapangan terbang yang kecil sahaja. Urusan keluar masuk di sini tidaklah sibuk dan sangat selesa. Kami dibawa ke Kuburan Siron iaitu kubur besar mangsa Tsunami yang berlaku dua belas tahun lalu. Terasa sayu hati apabila membaca catatan peringatan di situ yang menyebut seramai 46 718 jasad disemadikan di sini dalam kubur besar. Kuburan besar ini disebut Kuburan Massal di  Aceh. Hanya bacaan alfatihah dapat disedekahkan kepada mereka. Mereka disemadikan di situ beramai-ramai kerana tidak mampu diurus oleh mangsa yang tinggal. Begitulah kehebatan tsunami sehingga melumpuhkan seluruh sistem yang ada.

bangunan hospital  yang terletak tidak jauh dari Ulele  rosak teruk akibat tsunami



Masjid Baitur Rahman yang utuh sebelum dan selepas tsunami
Seterusnya kami dibawa ke Muzium tsunami namun terpaksa berpatah balik kerana Muzium ditutup kerana bekalan elektrik di Banda Aceh ditutup sementara kerana ada pertunjukkan payung terjun. Katanya  untuk tujuan keselamatan penerjun  andai tersangkut pada kabel elektrik. Oleh itu kami akan datang lagi ke Muzium ini esok atau lusa.Kami seterusnya dibawa ke Rumah Makan Syiah Kuala. Ingat bacaannya bukan Syiah tetapi Siyah atau Syeikh dalam bahasa kita. Suspen juga kami .....


Setelah menikmati makan tengahari, mata terasa berat lalu kami dihantar untuk check in hotel  dan berehat sebentar. Pukul 4 petang, kami dijemput semula oleh Pak Karim dan dibawa ke satu tempat yang teruk dilanda tsunami iaitu di kawasan hospital  pada ketika tsunami melanda. Bangunan hospital masih berdiri kukuh namun  pada hari kejadian tsunami  ramai mangsa yang berada di hospital ini menjadi korban dan dihanyutkan air entah ke mana. hal ini kerana hospital ini berada berhampiran pantai. Dapat kita bayangkan pesakit yang tidak mampu untuk berbuat apa-apa di saat ribut  dan  gelombang air tsunami yang menenggelamkan hospital dua tingkat itu. Perkampungan di sekitar hospital ini musnah teruk dan selepas tsunami hanya 200 orang yang tinggal. Tempat ini tidak jauh letaknya dari pantai Ulele. Di tepi hospital ini juga terdapat Kuburan Massal  dan dibina  bangunan baru yang dipanggil escape building sebagai persiapan tempat berlindung seandainya terjadi lagi tsunami pada masa depan.

Seterusnya kami dibawa ke masjid  Baiturrahman untuk bersolat maghrib.Masjid ini merupakan masjid kebanggaan masyarakat Aceh dan antara masjid yang terselamat ketika tsunami. Sekarang ini dalam proses pembesaran di kawasan luarnya untuk menampung jemaah yang ramai. Payung-payung seumpama masjid Nabawi sedang dibina di sana.Kemudian kami dibawa untuk makan malam di restoran ayam penyet.
Kapal yang tersankut di tepi rumah 2 tingkat ini telah menyelamatkan nyawa mangsa yang berlindung di tingkat atas

Kapal-kapal yang berlabuh di sinilah yang dibawa dan tersangkut di atas rumah dengan izin Allah

Keesokan harinya, kami dibawa pula ke Kampoeng Lampulo untuk melihat kapal di atas rumah. Kami disambut oleh guide yang bertugas di sana dan diceritakan bahawa ketika kejadian anak gadis yang menjadi guide itu berusia  2 tahun. Cerita Mak Kolah yang mengalami sendiri kejadian semasa kapal tersangkut di atas rumah begitu menyentap hati kami. menurutnya ketika kejadian, dia seperti biasa berjualan kuih di tepi pantai. terdengar dua letupan yang kuat di laut dan  berlaku gempa  yang merobohkan rumah-rumah. Selang 5 minit  ombak kuat  mula melanda.Kemudian dia  berlari pulang dan dikejar oleh air gelombang pertama. Dia bersama penduduk kampung melarikan diri dengan naik ke atas rumah dua tingkat. Namun gelombang kedua yang datang hampir menenggelamkan rumah itu menyebabkan dalam ketakutan mereka berdoa supaya Allah mendatangkan pertolongan untuk mereka. Benarlah bahawa doa orang yang terdesak dengan sesungguh hati akan dikabulkan. Dalam keadaan panik itu, tiba-tiba sebuah kapal tersangkut di bahagian tepi rumah itu, lantas semua yang ada dalam rumah itu memanjat ke atas kapal dari koridor tingkat 2 rumah itu. Mereka menyangka kapal itu adalah kapal pasukan penyelamat namun setelah beberapa jam berada di atas kapal itu, barulah mereka sedar kapal itu dihanyutkan oleh arus tsunami ke situ.Bayangkan di saat kita terdesak lalu Allah datangkan pertolongan yang tidak disangka-sangka. Sesungguhnya Maha Suci Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang. Mengalir air mata kami mendengar cerita ini.
Insyaallah ada 2 hari lagi untuk kami menyaksikan  sejarah tsunami di bumi Darussalam ini.