Jumlah Pengunjung

Friday, 11 November 2011

11.11.11 YANG HARUS DISYUKURI

Hari ini Jumaat yang penuh dengan kenangan manis. Kenangan manis buat anak saudara Lukman Hakim  yang melangsungkan akad nikah dan Majlis Ihtifal dan  Anugerah Cemerlang untuk puteri yang disayangi Iman.
Oleh kerana majlis akad nikah akan dijalankan selepas Asar di Masjid Bukit Larek, Ummi tidak dapat hadir untuk melihat Iman menerima hadiah. Kami bertolak jam 4 petang dan selepas solat Asar majlis akad nikah pun bermula. Imam nikah sangat tenang pada pemerhatian Ummi. Setelah membaca khutbah nikah dan bertanya beberapa soalan, dengan sekali akad sahaja Fatimah sah menjadi isteri Hakim. Bertambah seorang lagi ahli keluarga. Alhamdulillah bekas anak murid kini menjadi anak saudara.



Ummi tertarik dengan khutbah nikah. Tentang tanggungjawab suami dan isteri. Marilah kita renungkan bersama.
bahawa seorang lelaki pergi ke rumah Amirul mukminin Umar al-Khattab untuk mengadu kepadanya perihal isterinya. Maka dia berhenti di hadapan pintu rumah Umar al-Khattab menunggu beliau keluar. Ketika itu lelaki tersebut terdengar isteri Umar al-Khattab meleteri beliau dan Umar hanya berdiam sahaja. Melihat yang demikian pulanglah lelaki tersebut ke rumahnya sambil berkata sendiri: “jikalaulah begitulah tindakan Umar terhadap isterinya sedangkan umum mengetahui sikap Umar yang garang dan tegas, maka siapalah aku ini.” Akan tetapi Umar ternampak lelaki ini melewati hadapan rumahnya dan lantas memanggil lelaki tersebut bertanyakan gerangan apakah dia mencarinya. Berkata lelaki tersebut: “wahai Amirul mukminin aku datang ke rumahmu untuk mengadu perihal isteriku yang suka meleteriku, akan tetapi aku terdengar isterimu juga meleterimu, sedangkan engkau seorang amirul mukminin. Maka Umar al-Khattab memjawab: “wahai saudaraku, aku berdiam ketika isteriku meleteriku kerana isteriku telah menunaikan segala haknya ke atasku, dialah yang memasakkan untukku, membuat roti untukku, membasuh segala bajuku dan menyusukan kesemua anak-anakku, sedangkkan kesemua itu bukanlah perkara yang wajib dilakukannya. Apabila aku ingat kembali kesemuanya itu aku tidak memarahinya kerana meleteriku. Berkata lelaki itu: “begitu jugalah perihal isteriku”. Jawab Umar: “ingatlah segala jasanya padamu, sesungguhnya keadaan itu hanyalah sementara”. (Khalid Abdul Rahman al-cAk.1997.178).

Di Pusat Asuhan Tunas Islam  AlBasyir berlangsung majlis meraikan kejayaan anak-anak untuk tahun 2011. Iman mendapat hadiah tempat ke-2 untuk kelas 5 tahun. Selain itu Iman juga mendapat hadiah mata pelajaran terbaik dalam Bahasa Inggeris. Hadiah saguhati juga diberikan kepada Iman kerana membuat persembahan  nasyid dalam Majlis. Tahniah dan semoga Iman bersyukur dengan nikmat yang diberikan dan Iman harus ingat apa yang lebih Ummi inginkan ialah  Iman cemerlang sahsiah dan  menjadi anak yang solehah.


No comments: