Jumlah Pengunjung

Saturday, 26 January 2013

JALAN-JALAN ZOO SONGKHLA


Zoo Songkhla merupakan tempat yang sangat sesuai dikunjungi oleh ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil. Harga tiket masuknya amat berpatutan  jika kita  lihat apa yang kita terima dalam zoo ini. Dengan bayaran RM10 untuk dewasa dan RM5  untuk kanak pengunjung  boleh membawa masuk kereta. Harga tanpa kereta lebih rendah.

 Harga tiket Zoo Songkhla  telah termasuk harga untuk masuk Zoo Water Park, melihat pertunujukan binatang dan  melihat binatang Zoo diberi makan.

Dalam lawatan Ummi baru-baru ini, Iman mula dengan bermain air di Waterpark jam 10.30 pagi. Dalam lawatan kami yang sebelum ini, kami tak tau yang harga tiket sudah termasuk sekali dengan water park. Jadi kali ini. Iman siap bawa baju mandi. Untuk yang tidak mempunyai baju mandi, baju mandi disediakan di pintu masuk water park. Di Thailand mengikut  pengalaman Ummi, semua pengguna kolam mesti berbaju mandi dan bertopi  untuk mengelak rambut gugur dalam kolam dan merosakkan sistem kolam. Baju mandi di sini dibuat sendiri oleh pihak zoo dengan menggunakan kain jersey hitam. jadi, kalau kita inginkan baju mandi, boleh buat sendiri rupanya. Di bahagian kanak-kanak, begitu ramai pelajar tadika bermain air bersama Iman. Di bahagian  dewasa waterpark ini ada mirip lost world.

Kami memang tak faham perjalanan aktiviti di sini, jadi kami ikut saja pergerakan rombongan tadika-tadika Thailand ini. Dari waterpark mereka menuju ke pertunjukan haiwan. Jadi kami pun ikut untuk melihat pertunjukan anjing laut. Selepas itu mereka berjalan kaki dari satu tempat ke satu tempat. Kami pula berkereta. Memang tak mampu ummi untuk menapak. Luas kawasan zoo ini yang terletak di atas bukit. Pemandangannya begitu indah sekali.

Satu lagi yang menarik di sini ialah melihat harimau diberi makan. Tempat harimau dengan penonton begitu dekat dan harimau nampak aktif. Penjaga zoo akan menggantung ayam dan daging pada tali dan 4 ekor harimau yang ada  akan melompat dan memanjat untuk mendapat makanan. Aksi harimau yang jatuh ke dalam air sehingga terpercik ke baju penonton benar-benar mencuit hati. Masa melihat aksi harimau diberi makan ini ialah 30 minit. Jadual masa pertunjukan dan masa memberi makan disediakan di beberapa tempat dalam zoo. Untuk ibu bapa di kawasan utara Semenanjung, wajar sekali pada pendapat Ummi membawa anak-anak ke Zoo Songkla dan kalau boleh spend sehari  masa di sana.




No comments: