Jumlah Pengunjung

Thursday 30 June 2016

MAKEDONIA YANG BERSEJARAH

Kalau kita baca Sejarah Melayu, diakatakan asul usul Raja Melaka adalah dari keturunan Iskandar Zulkarnain iaitu Raja Mekadonia. Tidak terbayang yang suatu hari, Ummi akan sampai ke negara yang disebut dalam buku Sejarah Melayu itu.

Oleh kerana Hj Khalid iaitu ahli rombongan kami hilang pasportnya, kami  berbincang di mana pasport itu tertinggal. Azman iaitu salah seorang peserta kembara mengatakan yang beliau pasti semasa di Kotor, Montenegro bilangan pasport masih lapan. Oleh itu, kami menelefon kedutaan Malaysia di Bosnia dan diberitahu supaya langkah terbaik ialah mencari pasport sampai jumpa. Jika hilang, lapor kepada polis dan minta kedutaan Malaysia di Rome menyediakan dokumen perjalanan untuk membolehkan orang yang hilang pasport  mendapat surat pengesahan perjalanan untuk pulang ke Malaysia.Rakyat Malaysia di  Albania berada di bawah pengurusan Kedutaan Malaysia di Rome.Jika ini terjadi, malanglah bagi kami kerana terpaksa menunggu kelulusan dan surat pengesahan kehilangan pasport dijangka mengambil masa 2 hingga 3 hari.

Oleh itu, kami bersetuju untuk berpatah balik ke sempadan Albania dan Montenegro untuk mencari kemungkinan pasport itu tidak dikembalikan semasa urusan mengecop pasport. Kami singgah di hotel di mana kami bermalam sebelum ini di Tirana dan pasti pasport tiada di sana. Alhamdulillah, sebaik sampai di pintu sempadan yang kami masuk semalam, pasport memang ada di situ. Kehilangan pasport merupakan satu dugaan buat kami. Perjalanan ke Makedonia diteruskan walaupun hari telah malam. Kami berpatah balik ke Elbasan untuk ke Makedonia.

Kami tiba di Bitola Makedonia hampir jam dua pagi. Semua ahli rombongan tenang menghadapi  dugaan perjalanan hari ini. Kami  terlepas untuk menyaksikan keindahan Tasik Ohrid kerana peristiwa kehilangan pasport. Tapi, kami masih dapat mengejar waktu dan dapat  mengikuti semula jadual perjalanan kami.

Kami bermalam di Hotel Teater yang sangat bagus hiasan dalamannya. Letaknya dekat sahaja dengan bandar Bitola.
tangga hotel penginapan kami

ada mini Muzium di hotel ini
Esoknya, kami menapak ke pekan, melihat Bitola yang kaya dengan sejarah. Di sinilah tempat Mustafa Kamal Attarturk dibesarkan. Sejarah Bitola dikatakan bermula dari zaman Rome iaitu sekitar tahun 148 SM. Bandar ini maju pada suatu masa dahulu. Memiliki ampiteater yang boleh memuatkan 3000 orang. Bandar ini bertukar tangan dari kerajaan Rome kepada Kerajaan Byzantine, Slavik, Bulgaria dan seterusnya jatuh ke tangan Turki Uthmaniah. Semasa di bawah kerajaan Turki Uthmaniah, bandar ini penting sebagai pusat perdagangan. Dikatakan pada kurun ke-17, terdapat 70 buah masjid di sini.

bandar Bitola
pamplet tentang hotel

Lihat di belakang adalah tugu Alexander The Great dan  dua buah masjid
Tugu yang dulu dilihat dalam buku sejarah kini di depan mata

Namun, kami hanya menemui 2 buah masjid di bandar ini. Salah satunya digunakan oleh masyarakat Islam di sini setelah dibaikpulih oleh NGO dari Turki dan sebuah lagi masih dalam proses pemulihan. letak antara kedua-dua masjid agak dekat yang menunjukkan bilangan umat Islam di sini adalah ramai pada suatu masa dahulu. Seperti biasa, paip air percuma  tinggalan kerajaan Islam masih ada di bandar ini. Tapak kolah wuduk juga masih dapat dikesan tinggalannya bersebelahan masjid yang sedang dipulihkan itu.

paip air  wakaf yang sentiasa mengalir

Jumaat di Makedonia.


Tuesday 28 June 2016

PENGALAMAN BERHARGA DI ALBANIA

Dari Bar Montenegro, kami  mencari jalan ke Albania. Akhirnya kami tiba di sempadan Albania. Proses masuk ke mana-mana negara Balkans adalah sama. Kami ditanya datang dari negara mana?, hendak ke mana? , menginap di mana?, kemudian ke mana?. Imegresen di sempadan Albania adalah yang paling mudah sekali. Pasport kami terus dicop tanpa banyak soal dan dikembalikan dengan cepat. Sebaik memasuki Albania, kelihatan ramai pengemis  meminta sedekah. Mereka berlari-lari di tepi kereta-kereta yang baru masuk untuk memohon sedekah.
Pintu sempadan Montenegro dan Albania.

Albania adalah negara yang paling miskin di Eropah. Mata wangnya ialah Lek. Kadar tukaran wang antara Malaysia dengan Albania ialah  100 Lek sama dengan 3.30. Sepanjang jalan ke Tirana iaitu ibu negara Albania, kami dapat menyaksikan pemandangan kawasan pertanian sara diri. Petak-petak gandum diselang-seli dengan jagung dan sayur-sayuran.Akhirnya kami tiba di Tirana ketika  hampir jam 6 petang dalam keadaan hujan renyai-renyai. Di dalam bandar, orang ramai sibuk kerana baru pulang dari pejabat. Ramai yang menunggu pengangkutan awam di tepi jalan.
pemandangan sepanjang jalan ke Tirana
Contoh rupa paras orang Albania

Sebaik memasuki hotel Victoria, segala kepenatan hari ini terasa terubat apabila melihat pemandangan di luar jendela bilik. Maha suci Allah yang mencipta dunia ini dengan segala keindahan.
Pemandangan yang sangat indah
hotel tempat kami menginap. terima kasih kerana layanan yang sangat baik di saat kami ditimpa masalah.

Untuk makan malam, hari ini, Ummi masak nasi  dan makan dengan masak merah ayam Brahim. Sehari sekali, kami mesti makan nasi di sebelah malam atau pagi. Pada waktu siang, kami  sama-sama makan makanan penduduk tempatan.
Hari ini kami bergerak awal sedikit ke Elbasan supaya kami sampai ke Tasik Ohrid awal sedikit. Sepanjang jalan ke Elbasan iaitu sempadan Makedonia, kami sekali lagi dihidangkan dengan pemandangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Zikri  yang menjadi pemandu van dan ketua kumpulan kami berhenti di tepi  sebatang anak sungai di tepi jalan  untuk mengambil gambar dengan dronenya. Penduduk  setempat datang untuk melihat drone kami. Mereka begitu peramah walaupun tidak tahu berbahasa Inggeris.


Pokok delima hampir ditanam di semua rumah di Balkans
Anak sungai sepanjang jalan ke Elbasan 


Setelah berleka-leka dengan keindahan sepanjang jalan akhirnya kami tiba di sempadan Albania dengan Mekadonia. Namun semasa menyerah pasport untuk dicop baru kami sedar satu pasport tiada. Di manakah kau pasport? Hanya ada 7 pasport sedangkan jumlah kami 8 orang. Pasport Haji Khalid yang hilang itu. Kata orang hilang pasport di luar negara amat menyusahkan.......

Sunday 26 June 2016

MONTENEGRO SEBUAH NEGARA PERGUNUNGAN

Sepanjang jalan  menuju Montenegrro, sudah kelihatan pemandangan sungai-sungai di tepi jalan berubah menjadi gunung-gunung yang tinggi. Kami melalui jalan sempit menuju ke pintu sempadan Montenegro. Di tepi jalan kelihatan petak-petak seumpama petak sawah. Rupa-rupanya bentuk tempat tanaman gandum secara sara diri hampir sama dengan petak-petak sawah di Kedah.

Setelah memasuki Montenegro, hari telah gelap, jalan agak teruk, sepanjang jalan  van terlompat-lompat. sayang sekali, tidak nampak pemandangan kerana  malam. Kami tiba di apartment di Kotor Montenegro agak lewat. Hampir 11 malam. Kami terus masuk ke apartment yang sangat cantik.Esok paginya baru sedar, kami apartment ini berdekatan  tasik Kotor yang sangat cantik itu. Walaupun namanya Kotor tetapi pemandangannya amatlah indah.
Van yang kami naiki sepanjang kembara di bumu Balkans diletak di hadapan tingkap bilik.

Tasik Kotor  Montenegro dari tingkap bilik.
Pagi ini, Ummi masak nasi berlaukkan ikan sardin.Di bilik apartment ini ada disediakan dapur elektrik. Senang untuk ummi memasak. Letak saja travel cooker yang boleh dipelbagaikan fungsinya ini. Dalam setengah jam siap breakfast. Jam 9.00 pagi, kami meninggalkan apartment menuju ke bandar Kotor. Di sini terdapat kota yang dibina pada masa lampau. Di luar kota bersejarah tersebut terdapat ramai peniaga menjual hasil tanaman. Kami membeli tomato, cili dan ceri. Ada juga yang membeli pisang  sebagai bekalan makanan sepanjang perjalanan. Buah ceri di sini sangat sedap.




Pintu masuk ke kota lama di Kotor



Kami bergerak sepanjang laluan tepi laut. Pemandangannya seumpama Monaco menurut Zikri  iaitu trip leader kami. Terdapat sebuah pulau yang didiami oleh orang-orang kaya. Beberapa kali kami berhenti mengambil gambar kerana tertarik dengan keindahannya.

Akhirnya kami tiba di Pusat Islam di Bar Montenegro. Di sekeliling pusat islam ini terdapat pokok zaitun yang beratus-ratus tahun usianya. Sebaik van kami diparking, nampak wajah-wajah comel berdiri di tingkap memerhati kami. Mereka teruja melihat kami...... anak-anak tadika di Pusat Islam ini. Guru tadikanya sangat peramah. Beliau mempelawa kami masuk ke kelasnya. Orang mengantuk disorongkan bantal. aduh... kagum dengan usaha masyarakat Islam di sini memberi pendidikan awal Islam untuk anak-anak mereka.
Pusat Islam Montenegro
Guru Tadika yang sangat peramahnya. Suaminya muazzin di sini.


Kami solat di masjid pusat Islam Bar dan menikmati makan tengahari yang sangat enak. Roti, sup , ayam, daging dan sayur. masih teringat-ingat lagi keenakan makanan di pusat Islam ini. Menurut Maliha guru tadika di atas, orang Islam ramai di sini tetapi mereka tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan. Jadi ini merupakan cabaran hebat bagi mereka... mengembalikan Islam di bumi Montenegro.Semoga Allah mempermudahkan usaha mereka.

Saturday 25 June 2016

DARI VRELO BOSNE KE JABLANICA DAN MOSTAR

Awal-awal pagi kami  untuk solat subuh iaitu sekitar jam 2.40 am. Waktu subuh masuk awal tetapi panjang iaitu sehingga jam 5 pagi. Jam 9 pagi kami bertolak ke Vrelo Bosne iaitu satu kawasan taman yang indah yang mempunyai air sungai yang bersih. Kejernihan airnya sangat sukar digambarkan. Nampak sampai ke dasar sungai. Vrelo dalam bahasa Bosnia bermaksud sungai.





Tempat seterusnya ialah Jablanica. Ia terletak di tengah perjalanan kami menuju Mostar. Apa yang menarik di sini ialah merasai kelembutan dan keenakan kambing golek yang superb.


Kemudian kami tiba di Mostar. Terus ke sebuah masjid kecil yang terdapat di tepi jalan yang di kelilingi makam syuhada. Masjid Koski Mehmet Pasha  ini telah dibina pada tahun 1618 semasa pemerintahan kerajaan Turki Othamniah. Bertemu imam masjid yang sangat muda orangnya sedang membersihkan kawasan hadapan masjid. Terasa sayu merakamkan fatihah buat pejuang Bosnia. Tergambar bagaimana mereka menentang kekejaman Serbia tanpa persediaan. Rumah-rumah  orang Islam dan masjid dimusnahkan sesuka hati. Satu bencana yang tidak pernah terfikir oleh orang-orang Islam di Bosnia.





Imam masjid ini dan adiknya sedang membersihkan kawasan masjid.












































Kami seterusnya ke Stari Most iaitu satu jambatan menjadi tumpuan pelancong di Mostar. Begitu ramai orang yang melawat jambatan ini terutamanya pelajar-pelajar sekolah.Ada remaja yang mengutip wang daripada orang ramai  kerana akan membuat terjunan dari atas Stari Most tapi tidak terjun-terjun pun.



Setelah dua jam di Stari Most, kami bergerak ke Blagaj. Di sini terdapat perkampungan sufi suatu masa dulu. Air terjun di tepi  perkampungan sufi ini sangat cantik.Di sebelah kanan pintu masuk perkampungan sufi ini terdapat restoran halal. Kami singgah untuk mengeteh dan menikmati wifi percuma.





   
Restoran di atas kawasan air terjun di Tekija.         




Setelah lebih kurang sejam di sini , kami bergerak menuju Montenegro.

Thursday 23 June 2016

BERKELANA DI NEGARA-NEGARA BALKANS

Tahukah anda di mana negara Balkans? Ummi pun tidak tahu di mana Balkans sehinggalah Ummi tiba di sana pada 30.5.2016  bersamaan hari  Isnin apabila kaki memijak bumi Sarajevo, Bosnia Herzogovina. Sebaik kapal terbang Turkish Airline  mendarat, ternampak rumah-rumah di atas bukit  mengelilingi lapangan terbang. Airportnya kecil sahaja seumpama Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar. Kapal terbang kami itulah satu-satunya kapal terbang yang ada di airport ketika itu. Keadaan sangat tenang.
Bosnia, sebuah negara yang cantik, memiliki  bentuk muka bumi yang indah  dan orang-orang yang sangat cantik dan peramah.

Kami  menjejak kaki ke Bosnia, Montenegro, Albania, Macedonia, Bulgaria, Romania, Hungary, Croatia seterusnya kembali ke Bosnia

Di Sarajevo, kami menginap di homestay yang dimiliki oleh pasangan yang beragama Islam  yang terletak  di atas  bukit berhampiran bandar lama Sarajevo.Dari Homestay kami berjalan kaki ke kawasan masjid  Gazi  Husrez Beg dan laman Bascarsija. Di kawasan ini terdapat banyak kedai-kedai yang menjual cenderamata, alas meja, pakaian, makanan dan sebagainya. Peminta sedekah kanak-kanak yang comel-comel juga banyak di sini.
Di keliling home stay terdapat pokok ceri, pear dan epal. Suasana waktu malam di  sini sangat cantik.Aduh... perkara yang paling suspen ialah ketika van kami melalui jalan sempit  ke homestay. sungguh mendebarkan. Rasanya kluc kereta orang-orang di sini haus semuanya. Jalannya terpacak. Memang kalau ambil lesen kena lulus cemerlang. Kemahiran menaiki  bukit  sangat penting di sini.


homestay di atas bukit sepertimana kebanyakan rumah di Bosnia

Pemandangan dari tingkap home stay.



  Selepas meletak beg, masing-masing tidak sabar untuk menjelajah bandar lama.

paip air wakaf oleh Gazi Huzbeg
Sungai di tengah bandar