Jumlah Pengunjung

Thursday 22 September 2011

HARI PELADANG, PENTERNAK DAN NELAYAN PERINGKAT NEGERI KEDAH

Malam tadi, Ummi dan Ayah membawa Iman ke pameran hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Kedah yang berlangsung di Perkarangan Stadium Darul Aman. Iman terujalah juga apabila  melihat pameran ternakan dan unggas tetapi binatang yang menyertai pameran kali ini sikit sangat. Namun Iman berkesempatan  buat pertama kali memegang gemal padi. Ummi harap Iman sedar dan berbangga dengan usaha nenek moyangnya dulu sebagai  petani dan tidak lupa akan hakikat itu pada masa depan.






Ummi pula mengambil kesempatan membeli  pokok bunga orkid. Bukan apa, sekadar untuk belajar menanam dan belajar bagaimana  merawat orkid  supaya kekal berbunga. Itulah keazaman Ummi hari ini. Ummi  rasa tercabar juga apabila mendengar cerita rakan-rakan bahawa menjaga orkid  yang menghasilkan bunga bukanlah mudah.Semoga Allah memberi ilham dan kebijaksanaan kepada Ummi mencapai hasrat ini. Seperti biasa kalau Ummi sudah bertekad Ummi akan berusaha. Kata pepatah genggam bara api biar sampai jadi arang. Harap Ummi akan dapat maklumat dari  kemudahan internet nanti.

Saturday 17 September 2011

SAMBUTAN HARI MALAYSIA DI SMKKN


Hari Malaysia disambut di sekolah Ummi pada hari Khamis dan cuti  sempena Hari Malaysia yang jatuh pada hari Jumaat dibawa menjadi cuti ganti pada hari Ahad.  Alhamdulillah dapatlah  minggu ini Ummi bercuti  3 hari.

Dalam banyak-banyak acara yang dipersembahkan pada hari itu, Ummi tertarik dengan sajak yang disampaikan oleh Sir Rosni, guru bahasa Inggeris di bawah Jabatan Ummi. Antara bait sajaknya berbunyi ;
              Pada hari ini
              Kulihat seorang anak gadis
              melaungkan merdeka
              sedangkan pakaiannya
              baju T ketat dan seluar singkat
              yang menampakkan pusat

             Kulihat gadis lain
             bertudung tetapi
             pakaiannya jarang
             menampakkan aurat
             namun amat bersemangat
             melaung ucapan keramat

             Hari ini kulihat
             seorang anak muda
             yang kurus kering dan panjang rambutnya
             bermata cekung
             melaung merdeka

            Sebenarnya mereka ini
            lupa diri sendiri
            kerana masih belum merdeka
            dan masih terjajah
            mindanya

Sajak Sir Rosni  sentiasa ditunggu-tunggu  oleh pelajar kerana beliau amat pandai melontar idea spontan yang amat relevan dengan kehidupan pelajar khususnya  remaja hari ini. Ummi kira sajaknya amat sinis dan kita perlu memahami erti  merdeka yang sebenar. Adakah kita benar-benar merdeka? Jangan biarkan Siluncai terjun dengan labu-labunya. Jangan biarkan menang sorak tetapi kampung tergadai.

Saturday 10 September 2011

HARI RAYA BERSAMA ANAK DIDIK

Hari ini Sabtu 10.9.2011 Ummi menerima kunjungan anak-anak didik yang datang untuk berhari raya. Ummi berbesar hati menyambut mereka. Kecil tapak tangan nyiru ummi tadahkan. Ada juga anak-anak didik kita yang rapat dengan kita. Ummi ingin mengenal mereka dengan  dekat. Membantu mereka bukan setakat dalam bilik darjah. Memastikan mereka berjaya dengan cemerlang dalam subjek yang Ummi ajar.  Sesungguhnya tanda-tanda keberkatan ilmu ialah apabila murid itu memuliakan gurunya kerana kedudukan guru itu amat tinggi kerana  guru mewarisi tugas nabi iaitu mendidik manusia. Tidak hairanlah dulu emak mahu anak-anaknya menjadi guiru. 

Suriani, Rabiatul, Mazliza, Amalina, Shahrul Nizam dan Izzat


                                          Syafiq, Nasri dan Amri

Monday 5 September 2011

HARI RAYA AIDILFITRI 2011

Raya tahun ini raya kelima bagi Iman. Ummi beli dua pasang baju untuk Iman dan ayah beli sepasang baju kurung warna hijau untuk Iman. Iman pilih sendiri kasut yang Iman suka dan beg untuk duit raya. Seperti biasa Iman akan pilih warna yang Iman suka iaitu Pink.

Setiap malam Iman berterawikh di surau depan rumah. Satu malam pun Iman tak selang. Ummi pun hairan kerana Iman dapat sembahyang terawikh macam orang dewasa. Sekarang ni Iman dah pandai selawat  dan baca zikir lepas terawikh.

Lepas sembahyang Iman mesti ambil moreh yang disediakan walaupun Iman tak makan moreh yang diambil. Terpaksa Ummi dan ayah makan takut membazir. Di surau Iman dapat ramai kawan. Semua lebih besar daripada Iman dan sukakan Iman. Mungkin sebab itu Iman rajin ke surau.

Banyak juga duit raya yang Iman dapat. Adalah seratus ringgit lebih. Iman dah simpan dalam Tabung Haji. Doa Ummi semoga kita dapat pergi ke Tanah suci bersama.  Jika diizinkan Allah Ummi dan Ayah ingin ke Tanah Suci lagi.


Iman suka beraya di pondok. Senang sembahyang Raya di surau bersama tok-tok dan tok wan  penghuni pondok. Lepas sembahyang Raya ramai orang datang rumah. Tahun ni Ummi buat nasi ayam. Sekejab saja nasi yang disediakan habis. Iman juga ikut Ummi dan Ayah ziarah rumah jiran-jiran di pondok macam rumah Mak Long Harah, rumah Pak Ngah Manaf, rumah Maizatul dan lain-lain.



Thursday 1 September 2011

Bapa Yang Kukasihi


Entah mengapa hati teringat bapa. Bapa yang sudah tua tetapi tetap bertenaga menghadapi karenah anak-anak. Bagiku bapa seorang yang hebat. Walaupun bapa tidak tahu membaca dan menulis, tetapi berjaya membesarkan kami 7 beradik. Semua anak yang dihantar bersekolah berjaya dalam pelajaran. Cuma kakak yang sulung belajar setakat darjah 3 kerana ketika itu belum ada sekolah di Kuala Nerang. Satu-satunya sekolah yang ada ketika itu ialah Sekolah kebangsaan di Padang Terap. Aku  dapat membayangkan kesungguhan bapa mengayuh basikal dari rumah ke Padang Terap untuk menghantar kakak yang ditumpangkan di rumah "Nyah" untuk memberi pendidikan kepada Kakak. Namun tuntutan kerja dan bilangan kami adik beradik yang ramai  menyebabkan Kakak diberhentikan sekolah untuk mengasuh adik-adik terutamanya Aku yang paling kecil ketika itu. Aku sangat terharu dengan pengorbanan yang terpaksa ditanggung oleh Kakak. Walaupun Kakak sebenarnya adalah pelajar terbilang di sekolah ketika itu. Andaikata  Kakak dapat meneruskan persekolahannya ketika itu, Aku percaya tentu Kakak sekarang memegang jawatan besar. Tetapi Allah Maha Merancang. Keberadaan Kakak di kampung sebenarnya memberi rahmat  yang sangat besar kepada keluarga kami. Dari dulu setiap kali Bapa dan Emak perlukan bantuan , kakak sentiasa ada di sana untuk menghulur tangan.  Aku percaya pahala yang kakak dapat sangat besar. Kakak tidak pernah mengira penat lelah dan wang ringgit  setiap kali berlaku kenduri di rumah Bapa. Kakaklah yang membantu Emak menanam padi  dan menuai di sawah bersama-sama kami, 3 orang adik perempuannya. Hubungan kami berempat amat rapat. Antara kami tidak pernah berkira tenaga dan wang ringgit. Sebab itulah Aku bersedia membantu Kakak membeli tanah  sawah dan membantu Wahiba iaitu anak kakak membeli rumah. Apabila emak telah tiada kakak lebih berperanan lagi setiap kali kenduri  terutama kenduri kahwin adik-adikku. Aku tidak pasti adakah sudah terbalas budi Kakak oleh kami.

Aku tahu Bapa dan Emak rasa bersalah kerana memberhentikan persekolahan Kakak. Sebab itulah Emak dan Bapa adil semasa pembahagian harta. Kakak mendapat paling banyak harta emak dan bapa kerana pengorbanan Kakak itu. Jelas sekali  kedua ibu bapaku amat jauh pandangan mereka.Kami berempat juga diajar untuk tidak menyusahkan ibu bapa. Lantaran itrulah Aku, Kak Nab dan Kak Yam tidak pernah meminta wang daripada mereka. Setiap hari ketika hendak melangkah ke sekolah, Bapa akan memberi wang saku tanpa diminta. Kebiasaan itu menyebabkan jika bapa tidak beri wang pun kami tidak akan meminta. Apa yang berlaku ini bagiku adalah  satu pendidikan supaya kita tidak meminta-minta dan adalah kurang wajar seseorang anak meminta wang daripada orang tuanya. Apa yang diberi itu adalah tanggungjawab dan anak tidak sepatutnya "mengarahkan" ibu bapa. Terima kasih  Bapa dan Emak kerana mengajar dan memahamkan Aku  erti adap dan sopan.

Rasanya kali terakhir Bapa memberi wang kepada Aku ialah ketika Aku di tingkatan enam. Bapa menghantar Aku ke Universiti dengan bekalan wang hasil jualan lembu oleh emak. Selain itu duit simpanan biasiswa semasa di sekolah menengah yang tidak pernah aku gunakan jadi bekalan belanja di Universiti. Aku membuat keputusan tinggal di asrama sepanjang belajar di Universiti kerana  belanja makan tidak perlu dikeluarkan. Semuanya dipotong dari biasiswa yang Aku dapat setiap hujung  semester ketika di sana. Lagipun kos pengangkutan juga tidak perlu kerana Aku memiliki dua kaki untuk berjalan ke Fakulti dan ke mana-mana pun. Aku takut jika Aku tinggal di rumah sewa, Aku akan menyusahkan Bapa dan Emak kerana mereka mungkin perlu mengeluarkan wang untuk makanan, pengangkutan dan sewa rumah. Terima kasih Emak dan Ayah kerana mengajar Aku menjadi anak yang matang.Kak Nab dan Kak Yam juga sebenarnya berkorban berhenti belajar di tingkatan enam dan memasuki Maktab Perguruan kerana tidak mahu Emak dan Ayah menanggung kos persekolahan kami  yang ketika itu  enam orang kesemuanya . Aku sangat kagum dengan  Emak dan Ayah walaupun orang kampung biasa mampu menyekolahkan enam orang anak serentak. Tentulah pelik jika kita yang bersekolah tinggi, tidak dapat mengurus keluarga sendiri.

Setelah aku dewasa kini, aku semakin berterima kasih kepada emak dan ayah kerana menyekolahkanku. Aku kini sedar sebenar anak-anak tidak berhak meminta  lebih dari itu. Tujuan Emak dan Bapa menyekolahkan kami adalah supaya apabila kami besar kami boleh berdikari. Adalah malang kalau kita masih membebankan mereka setelah semua itu kita terima daripada mereka apatah lagi ketika usia mereka menjelang senja. Dalam Islam pun sebenarnya ibu bapa hanya perlu menanggung anak-anak sehingga mereka baligh sahaja bagi lelaki dan bagi perempuan sehingga mereka dikahwinkan. Semoga Allah melindungi kita daripada menjadi anak-anak yang menyusahkan ibu bapa.