Sempena cuti hujung minggu yang bersambung dengan cuti Hari Malaysia, Ummi, Iman, Asmida dan Ayah jalan-jalan ke bandar Taiping. Rasanya dalam setahun dua tiga kali juga kami ke bandar Taiping. Almaklumlah, bandar yang penuh dengan nostalgia buat Ummi. Di bandar inilah Ummi ditempatkan sebaik tamat belajar di Universiti. Taman Kamunting Jaya merupakan rumah sewa pertama kami semasa di Taiping. Ketika itu sewa rumah teres dua bilik di Kamunting hanya RM120 sahaja. Kemudian kami berpindah menyewa di Taman Simpang apabila Ummi mula mengajar di Sekolah Menengah Simpang pada 4.12.1989. Ummi dan 3 lagi rakan merupakan guru siswazah pertama di Sekolah Menengah Simpang. 2 melayu, seorang Cina dan seorang India. Nama mereka pun Ummi sudah lupa. Jadi apabila kami ke Taiping kelmarin Ummi snaplah gambar sekolah pertama Ummi itu.
Taman Tasik Taiping memang sangat terkenal. Bekas kawasan lombong bijih timah itu tidak pernah sunyi daripada kunjungan orang ramai. Dari awal pagi, Taman Tasik sudah meriah dengan warga Taiping yang rajin bersenam. Yalah...for healty lifestyle. Ummi membawa Iman menaiki feri mengelilingi tasik. Sebenarnya bukan feri betul tapi pelantar kayu yang berenjin sangkut. Ramai juga pelancong yang menaiki feri ini terutama pelancong dari Kedah dan Kelantan.
Kami bermalam di Hotel Taiping Perdana iaitu hotel baru milik Koperasi Guru-guru Larut Matang dan Selama. No telefon hotel ialah 05-8082011. Harganya berpatutan. Ada kolam mandi di tingkat 2.
Kami juga ke Kuala Sepetang untuk menikmati Mee Udang Mak Jah yang terkenal itu. Memang sedap..... Dulu, Ummi pernah diajak oleh pelajar untuk menaiki bot di Kuala Sepetang tetapi Ummi tidak berani kerana faktor keselamatan. Ummi juga dapati ketika itu, pelajar kelas Ummi apabila tidak datang ke sekolah mereka memberi sebab terpaksa bekerja mengambil upah mengopek kerang dan ada juga bekerja di kilang arang. Satu hari seorang pelajar menghantar lokan ke rumah kerana disuruh oleh ayahnya. Pernah juga ketika menghantar pelajar pulang ke rumahnya pula, Ibunya memberi beberapa sikat pisang berangan kepada Ummi. Jadi kunjungan Ummi kelmarin benar-benar menggamit nostalgia. Semoga anak-anak murid Ummi telah berjaya dalam hidup masing-masing.
No comments:
Post a Comment