Jumlah Pengunjung

Monday, 29 August 2011

UJIAN ALLAH

Hari ini hari ke-29 kita berpuasa. Malam tadi Ummi tiba di rumah jam 2.00 pagi. Kami pergi ke Manjung lewat petang semalam untuk mengambil Pak Cik Mie sekeluarga yang terlibat dalam kemalangan. Alhamdulillah semua selamat walaupun kereta terpaksa masuk bengkel. Ummi sedih juga mengenang kesulitan yang sedang Pak Cik Mie hadapi. Moga Pak Cik Mie tabah. Insyaallah  Ummi yakin di sebalik semua kesusahan pasti ada hikmah yang tersembunyi.

Ummi sendiri tidak pernah meratapi  takdir yang tersurat. Ummi pernah dengar  semasa di pondok dulu, Pak Teh Mat semasa "mengajar" menyatakan bahawa rasa gembira dalam diri kita sebenarnya adalah kerana dilontarkan perasaan itu ke dalam hati kita oleh Allah s.w.t. Sebab itulah ada orang rasa gembira dalam hatinya walaupun hidup sendiri, miskin dan tak punya apa-apa untuk dibanggakan. Ada pula orang rasa tidak gembira dan sunyi walaupun di sekelilingnya ramai orang, banyak harta dan mempunyai pelbagai kelebihan. Ummi dapat kaitkan pula penjelasan Pak Teh itu dengan istilah redha. Redha sebenarnya bagi Ummi payah untuk dibuktikan kecuali kita  ditimpa kesusahan dan kita menerimanya dengan hati yang terbuka. Satu istilah yang senang disebut tetapi tidak ramai yang memiliki.




Oleh itu Iman juga harus belajar untuk berpuas hati dengan apa yang ada. Kuatkan semangat dan jangan mudah menangis. Ingat selalu pesan Ummi.

Thursday, 25 August 2011

Majlis Khatam Al-Quran

Hari ini adalah hari terakhir persekolahan sebelum esok bermulanya cuti hari Raya Aidil Fitri. SMKKN telah mengadakan majlis khatam Quran. Ummi selalu teringat bagaimana meriahnya majlis ini ketika Ummi mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Perempuan Kangar dulu.(1990-1998).

Allah berfirman bermaksud: Wahai umat manusia, sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan penawar bagi penyakit batin yang ada dalam dada kamu dan menjadi hidangan petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang beriman. (Surah Yunus, ayat 57)

Fadilat membaca al-Quran memang besar seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: Orang yang membaca al-Quran dengan lancar, maka dia bersama malaikat yang mulia, manakala orang yang membaca al-Quran kurang lancar, maka baginya dua pahala.

Imam Malik pernah berkata sebaik tiba Ramadan: Ini adalah bulan al-Quran. Begitu besar penghormatan diberikan seorang aulia (pewaris nabi) terhadap Ramadan dan al-Quran, seolah-olah tersimpul dalam ikatan sungguh kuat hingga sanggup menghentikan segala urusan lain.

Dalam beberapa riwayat ada dicatatkan kalangan ulama membaca al-Quran dengan penuh tartil (teliti). Kerap kali mereka menangis ketika membaca ayat al-Quran yang mengandungi pelbagai petunjuk serta bimbingan.
Dalil al-Quran diturunkan pada Ramadan adalah firman Allah yang bermaksud: Beberapa hari yang ditentukan itu adalah Ramadan, bulan yang dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan yang membezakan (antara yang hak dan yang batil). (Surah al- Baqarah, ayat 185)

Amalan tadarus bukan saja dapat meningkatkan kefahaman terhadap makna ayat suci, malah memperbetulkan kesilapan bacaan terutama dari segi tajwid dan makhrajnya.

Bertadarus al-Quran menjadi amalan sepanjang Ramadan sama ada dilakukan secara bersendirian atau berkumpulan bagi mengimarahkan bulan yang penuh keberkatan dan ganjaran pahala berganda daripada Allah.

Oleh itu sesiapa yang belum khatam alQuran sempena Ramadhan tahun in marilah kita terus membaca kerana  bulan puasa masih ada 5 hari lagi.
                                           Ustaz Mahmud mengetuai majlis
                                           Pelajar-pelajar khusyuk mengikuti majlis

Saturday, 16 July 2011

Iman di icity Syah Alam

Oleh kerana  ayah sedang bercuti semester kerana pelajarnya telah ke Australia, ayah membawa Iman ke bandar Icity sebuah bandar yang berlatarkan hiasan lampu yang berwarna warni dengan segala macam bentuk hiasan. Iman begitu teruja kerana dapat masuk ke snow walk dan menyaksikan replika bentuk-bentuk muka bumi di kawasan yang bersalji. Alhamdulillah dapatlah Iman menyaksikan kepintaran manusia dan Iman yakin tentu Allah lebih bijaksana menjadikan muka bumi ini dengan pelbagai bentuk dan iklim.
Dalam perjalanan balik ke rumah Iman singgah di Zoo Taiping. Walaupun dulu Iman pernah pergi tetapi Iman dah lupa. Jadi Ummi  setuju bermalam di Sri Malaysia Taiping dan keesokannya bawa Iman ke Zoo.
Jumpa lagi.

Saturday, 11 June 2011

LAWATAN KE MEDAN

Iman . Ummi dan Mak Long Balkis telah mengambil kesempatan cuti sekolah untuk melancong ke Medan. Banyak tempat yang sempat dikunjungi di sana. Antaranya ke Pulau Samosir melihat perkampungan dan budaya masyarakat Batak Toba. Masyarakat ini mendiami  Pulau Samosir dan di tepi Danau Toba. lagu Sinagar si Tolo-tolo kini masih diingati Iman. Lagu menyambut tetamu masyarakat batak Sumatera Utara.
Kami juga dibawa ke Brastagi iaitu sebuah  kawasan pelancongan tanah tinggi. Kegiatan utama tanah tinggi sepertimana tempat-tempat lain ialah pertanian sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga. Iman sempat menaiki kereta kuda. Satu pengalaman menarik di sana. Seterusnya kami tidak lupa membeli belah di Pasar Ikan di Medan. Insyaallah kami akan ke tempat lain pula apabila cuti sekolah datang lagi.
                                                       Iman bersama MakCik Nita

Monday, 16 May 2011

SELAMAT HARI GURU

GURU PEMBINA TRANFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

Bersatu kita menuju paradigma yang baharu
Satu tekad dan harapan menyahut cabaran dunia
Pendidik berkualiti demi mencapai visi
Dengan azam yang murni membentuk akhlak terpuji

Guru mendidik insan dengan setulus hati
Membimbing generasi masa hadapan
Guru  penjana transformasi pendidikan negara
Menjayakan hasrat yang murni satu Malaysia

Pendidik berinovasi menghasilkan kreativiti
Bersedia hadapi cabaran arus tanpa sempadan
Pendidik yang berkualiti membentuk akhlak terpuji
mengimbangkan rohani jati diri dan jasmani



Hari ini  ummi menyambut  hari guru di sekolah. Seperti biasa acara pagi bermula dengan perhimpunan dan mendengar  perutusan hari guru. Seterusnya penyampaian anugerah tokoh guru. Tahun ini Ustaz Mahmud dipilih sebagai tokoh guru 2011. Amat sesuai apalagi ustaz telah lama berkhidmat dan akan bersara hujung tahun ini. Ummi sendiri pernah dipilih sebagai tokoh guru 2 tahun lepas. Namun rasanya sumbangan Ummi untuk dunia pendidikan tidak seberapa. Apalah sangat yang Ummi sumbangkan berbanding contoh teladan junjungan kita. Baginda menjadi suri teladan dan sanggup berkorban apa sahaja demi mengajak manusia ke arah kebaikan. Namun Ummi amat gembira apabila anak-anak didik mengucapkan "Terima  kasih Cikgu, Selamat Hari Guru".

Tuesday, 10 May 2011

IMAN YANG RAJIN MELUKIS

Setiap hari puteri kecilku Iman akan melukis. Habis kertas A4 ummi diambilnya. Ada-ada sahaja imaginasinya.

Dalam gambar di atas apabila ditanya apa yang dilukisnya, Iman memberitahu bahawa dia melukis gambar rumahnya yang dikelilingi pokok. Apabila ditanya siapa orang yang dilukisnya di bawah itu. Katanya gambar ayahnya yang ada janggut dan misai. Cayalah Iman. Teruskanlah minat anakanda.

Thursday, 28 April 2011

Iman Yang Rajin Membaca

Iman Nur Anisa puteri kecil yang rajin menghafal doa. Setiap hari sibuk membaca doa.Semoga apa yang dihafal akan terus menjadi amalan. Doa ummi agar iman menjadi anak yang soleh.