Jumlah Pengunjung

Saturday, 6 October 2012

SEMALAM DI CINTA SAYANG GOLF RESORT

Begitu cepat masa berlalu. Terasa baru sahaja hari keluarga 2011 Ummi ceritakan di blog ini. Semalam sekali lagi Ummi, Iman dan Ayah menyertai Hari Keluarga Kolej Mara untuk tahun 2012 yang bertempat di Cinta Sayang  Golf Resort Sungai Petani. Di bawah ini Ummi letakkan gambar bilik jenis  Rajawali Suite yang disediakan untuk keluiarga kami. Bilik ini  luas,cantik serta lengkap dan boleh ditiru untuk ubahsuai rumah kita meliputi ruang tamu, dry kichen, bilik tidur, ruang almari baju dan almari hias serta bilik air.

                                                      Ruang tv kedua bilik tidur
                      lorong antara ruang tamu menuju ke bilik tidur. Di tengahnya ada dry kichen atau bar kecil
Iman mengambil bahagian dalam acara kutip gula-gula dan acara mengumpul bola. Dalam acara mengutip gula-gula Iman mendapat tempat kedua dan dalam acara ke-2, Iman mendapat tempat ke-4. Jadi ini hadiah yang Iman dapat.

                                                     Bersedia untuk mengutip gula-gula
                                       Jumlah gula-gula dibilang. Iman berjaya mengutip 49 biji.
                                                           Iman mengutip 9 biji bola
Setelah selesai acara Iman tidak melepas peluang mandi kolam. Berjam-jam Iman mandi. letih Ummi menunggu di tepi kolam. Kemudian mencuba pula  gajet dalam gimnasium.
 Hari keluarga ini bagi Iman sangat menyeronokkan. Jumpa lagi di Hari Keluarga tahun hadapan. Insyaallah.            

Friday, 28 September 2012

ALOR SETAR IBU NEGERIKU - KUTINJAU DARI MENARA TELEKOM

Iman pertama kali dibawa menaiki lif di Menara Telekom Alor setar setelah berusia 6 tahun. Jelas bagi Iman, peluang ini agak mengujakan. Dari ketinggian 88 meter Iman meninjau bandaraya Alor setar. Tampak jelas indah bandaraya Alor Setar dengan cuaca yang begitu baik. Dari kejauhan nampak  petak-petak sawah padi menganjur ke kaki bukit bukau.Sekaki payung jadi kenangan tanda kunjungan namun mahalnya harga tiket RM20 untuk tiga orang rasa tidak berbaloi tetapi bila tersedar kos penyelenggaraan yang tinggi dan pengalaman yang dapat ,nilai ringgit menjadi tidak seberapa.



Sunday, 16 September 2012

TAIPING ....BANDAR WARISAN

Sempena cuti hujung minggu yang bersambung dengan cuti Hari Malaysia, Ummi, Iman, Asmida  dan Ayah jalan-jalan ke bandar Taiping. Rasanya dalam setahun dua tiga kali juga kami ke bandar Taiping. Almaklumlah, bandar yang penuh dengan nostalgia buat Ummi. Di bandar inilah Ummi ditempatkan sebaik tamat belajar di Universiti.  Taman Kamunting Jaya merupakan rumah sewa pertama kami semasa di Taiping. Ketika itu  sewa rumah teres dua bilik di Kamunting hanya RM120 sahaja. Kemudian kami berpindah menyewa di Taman Simpang apabila Ummi mula mengajar di Sekolah Menengah Simpang pada 4.12.1989. Ummi dan 3 lagi rakan merupakan guru siswazah pertama di Sekolah Menengah Simpang. 2 melayu, seorang Cina dan seorang India. Nama mereka pun Ummi sudah lupa. Jadi apabila kami ke Taiping kelmarin Ummi snaplah gambar sekolah pertama Ummi itu.

Taman Tasik Taiping memang sangat terkenal. Bekas kawasan lombong bijih timah itu tidak pernah sunyi daripada kunjungan orang ramai. Dari awal pagi, Taman Tasik sudah meriah dengan warga Taiping yang rajin bersenam. Yalah...for healty lifestyle. Ummi membawa Iman menaiki feri mengelilingi tasik. Sebenarnya bukan feri betul tapi  pelantar kayu yang berenjin sangkut. Ramai juga pelancong yang menaiki feri ini terutama pelancong dari Kedah dan Kelantan.


Kami bermalam di Hotel Taiping Perdana iaitu hotel baru milik Koperasi Guru-guru Larut Matang dan Selama.  No telefon hotel ialah 05-8082011. Harganya berpatutan. Ada kolam mandi di tingkat 2.
Kami juga ke Kuala Sepetang untuk menikmati Mee Udang Mak Jah yang terkenal itu. Memang sedap..... Dulu, Ummi pernah diajak oleh pelajar untuk menaiki bot di Kuala Sepetang tetapi Ummi tidak berani kerana faktor keselamatan. Ummi juga dapati ketika itu, pelajar kelas Ummi apabila tidak datang ke sekolah mereka memberi sebab terpaksa bekerja mengambil upah mengopek kerang dan ada juga bekerja di kilang arang. Satu hari seorang pelajar menghantar lokan ke rumah kerana disuruh oleh ayahnya. Pernah juga ketika menghantar pelajar pulang ke rumahnya pula, Ibunya memberi beberapa sikat pisang berangan kepada Ummi. Jadi kunjungan Ummi kelmarin benar-benar menggamit nostalgia. Semoga anak-anak murid Ummi telah berjaya dalam hidup masing-masing.

Saturday, 1 September 2012

JOHAN HAFAZAN DOA

Hari ini 1 SEPTEMBER 2012,  Pasti  Parlimen Padang Terap telah mengadakan Pertandingan Alam Ria Antara Pasti( Pusat Asuhan Tunas Islam). Iman mewakili Pasti Al-Basyir dalam acara nasyid, Hafazan Doa  dan Surah Pendek. Acara lain yang dipertandingkan dalam program ini  ialah membaca bahan Bahasa Melayu, Inggeris dan Jawi, Azan, Khutbah, Sajak dan Bercerita. Alhamdulillah Iman telah menjadi Johan dalam acara hafazan doa dan mendapat naib johan dalam acara nasyid.




Secara keseluruhan rakan-rakan Iman dari Pasti yang sama menang dalam hampir semua acara yang disertai mereka sekalipun bukan semuanya mendapat johan. Terima kasih kepada Cikgu Basyirah, Cikgu Rahimi dan Cikgu Aisyah atas usaha gigih mereka. Jadi apa yang penting bukan kemenangan tetapi kesungguhan mempelajari dan mengingat apa yang diajar oleh cikgu semasa  dalam kelas seterusnya menanam keyakinan dan keberanian untuk berhadapan dengan khalayak pada masa depan. Tahniah untuk semua dan Ummi harap Iman akan terus berusaha dan mengamalkan apa yang dipelajari dalam kehidupan kerana ilmu tanpa amal tidak berguna.

Friday, 24 August 2012

MERIAHNYA ZOO TAIPING

Setiap kali cuti sekolah menjelang, biasanya zoo akan menjadi tempat kunjungan yang paling digemari ibu bapa yang mempunyai anak kecil. Gelagat binatang di zoo amat disukai kanak-kanak. Jadi sekembali dari berhari raya di Manjung, Ummi dan rombongan singgah di Zoo Taiping. Semasa kami tibu orang ramai sedang keluar dari zoo, jadi senanglah kami berbaris menunggu giliran untuk menaiki train. nak berjalan rasanya tidak sanggup lagi bila dah berumur ni.Segerabak penuh dengan ahli rombongan kami. Iman begitu teruja kali ini kerana datang beramai-ramai. Namun binatang yang ada di Zoo Taiping nampak semakin kurang jika dibandingkan dengan Zoo Melaka.Namun  tetap ramai kerana tiada zoo lain di utara semenanjung.


Saturday, 21 July 2012

PENGALAMAN BERPUASA KALI PERTAMA

Ahlan wasahlan Ya Ramadhan 
Ramadhan kareem menjelma lagi
pintu langit telah terbuka
Menghimpun rahmat dan maghfirah

Alhamdulillah hari ini Iman dapat berpuasa penuh sehari buat pertama kalinya. Pengalaman pertama yang sangat dinantikan oleh Iman. Iman bangun bersahur dengan sekali kejut sahaja. Bersahur bersama Asmida, Ummi dan Ayah. Sepanjang pagi Iman nampak bertenaga namun menjelang pukul 5 petang Iman mula keletihan. Iman memberitahu rasa mahu demam. Ummi pujuk Iman supaya bertahan. pujuk Iman mandi untuk menyegarkan badan. Lepas mandi Iman terus lena sampai waktu berbuka. Sebaik azan berkumandang Iman rasa lega apabila dapat menjamah makanan. Tetapi perut Iman tidak dapat menerima makanan serta merta dan menolak makanan yang masuk.Kasihan Iman. Ummi pujuk Iman supaya minum dan makan nasi walaupun sedikit. Lepas makan Iman tak terdaya lagi. Terus tertidur di atas sofa. Sama macam Upin dan Ipin berpuasa kali pertama. Malam ini cita-cita Iman nak  bertarawikh di surau depan rumah tak kesampaian. Moga  esok Iman lebih bertenaga.

Friday, 8 June 2012

MEMBILANG DALAM BAHASA THAI

Setelah berjalan-jalan beberapa kali ke negara Thai, Ummi dapatlah mempelajari beberapa perkataan asas yang penting untuk kita ketahui terutamanya apabila bertanya harga barang dan ingin memesan makanan,
Antaranya:

Satu (NENG)
Dua (SONG)
Tiga (SAM)
Empat (SE)
Lima (HA)
Enam (HOK)
Tujuh (TCET)
Lapan (PET)
Sembilan (KAOU)
Sepuluh (SIP)
Sebelas (SIP ET)
Dua belas - Sembilan belas (SIP + sebutan nombor)
Dua puluh (JE SIP)
Dua Puluh satu (JE SIP ET)
Dua Puluh Dua - Dua Puluh Sembilan (JE SIP + sebutan Nombor).
Kin(makan) Khao (nasi).

Selamat mencuba