Ada padi adalah beras,
Bertanak nasi periuk tembaga,
Ada budi adalah balas,
Orang berbudi kita berbahasa.
Tanam pisang tanamlah ubi,
Ubi ditanam buatkan batas,
Banyak orang bertanam budi,
Dalam ingatan hendaklah dibalas.
Kadang-kadang Ummi terfikir kenapa tidak ramai manusia sekarang berpegang kepada pantun di atas. Masyarakat Melayu sebenarnya amat halus perasaannya. Setiap kita diajak supaya sentiasa berusaha berbuat baik dan menolong orang lain. Sebagai muslim kita wajib membantu saudara kita yang berada dalam kesusahan.
Orang yang menerima budi juga wajar berterima kasih. Sekurang-kurangnya mendoakan agar orang yang berbudi kepadanya diberi rahmat oleh Allah. Sekiranya tidak mampu membalas kebaikan dengan wang ringgit, balaslah dengan tenaga atau kata-kata yang baik. Janganlah pula menjadi seperti melepaskan anjing tersepit. kita membantu orang di saat dia susah tetapi kemudian kebaikan kita dibalas dengan kejahatan.
Pengalaman Ummi kadang-kadang menyebabkan Ummi terfikir betapa tidak prihatinnya kebanyakan manusia sekarang. Tidak ramai orang yang sanggup bersusah untuk orang lain sedangkan 'orang lain itu' pernah bersusah-susah untuk mereka. Mungkin iman kita tidak begitu mantap, tapi hati selalu mengingatkan bahawa apabila kita membuat kebaikan, buatlah semata-mata lillahhitaala.... maka jiwa terasa tenang.
No comments:
Post a Comment