Jumlah Pengunjung

Friday, 21 December 2012

CEMERLANG OH CEMERLANG

Sekarang ini orang ramai sedang membincangkan adakah keputusan anak mereka cemerlang dalam PMR. Berapa orang mendapat straight A di sekolah itu dan di sekolah ini. Jarang orang bertanya adakah keputusan  PMR pelajar A lebih baik dari keputusan UPSRnya? Berjayakah sekolah yang menerima pelajar 5A melahirkan seratus peratus 8A?Walhal soalan itulah setidak-tidaknya membawa  maksud cemerlang.

Bagi  anak-anak yang masuk ke sekolah menengah dengan ALL England(All E UPSR) atau ALL Denmark atau All Canada  mereka kini terpaksa meneruskan pengajian ke tingkatan 4 kerana sistem pendidikan kita mengkehendaki setiap warganya mendapat pendidikan sehingga berusia 18 tahun. Disebabkan akta tersebut, terdapat juga anak-anak yang tidak bersekolah datang mengambil peperiksaan sahaja. Apalah yang mampu dijawab oleh mereka dalam dewan peperiksaan?

Kini, di tingkatan 4, mereka diminta pula untuk belajar menulis karangan, disogok pula dengan kepayahan mengira dalam matematik, dijuruskan pula dalam berbagai-bagai aliran yang mereka sendiri tidak pasti untuk apa kerana cita-cita mereka sekadar menjadi seorang penoreh getah, menjadi pembawa back hoe, menjadi pam attenden dan memotong ayam di pasar. Mereka terpinga-pinga dan keliru berhadapan dengan subjek-subjek yang kurang relevan dengan cita-cita yang sepadan dengan kebolehan mereka.

Hendak ke sekolah vokasional pula bukanlah senang. Sekolah jauh di bandar besar. Pening kepala memikirkan bagaimana mahu tinggal di asrama kalau tuala dan persalinan pun tiada. Apalagi memikir peraturan asrama yang perlu diikut sedangkan sehari-hari  mereka dengan rutin kehidupan yang berbeza. Bangun tidur tiada siapa bertanya pukul berapa? Semoga suatu hari, semua akan lebih peka dan semua anak-anak mendapat pendidikan yang sesuai dengan kebolehan mereka. Insyaallah.

No comments: