Jumlah Pengunjung

Monday, 16 December 2013

HOTEL ISLAM DI BANGKOK

Dari Aranyaprathet kami bertolak pulang ke Bangkok. Pemandu van tidak tahu di mana ada masjid. Jadi kami terpaksa menjamak sembahyang di sebuah pam minyak dengan meminta kebenaran menggunakan bilik yang sedang direnovate.


Kami tiba di Bangkok jam 8.00 malam. Keadaan jalan raya sangat sesak. Kami mulanya ingin makan di Mukatak iaitu restoran yang mengenakan bayaran 190 bath bagi setiap kepala tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana kesesakan tersebut. Hotel kami malam itu ialah Regent yang terletak di jalan Ramkangheng. Penyambut tamu hotel memberitahu kami, 2 hari lepas suasana di situ sungguh meriah dengan aktiviti tunjuk perasaan. Dia berasal dari Pattani dan baru dua bulan bekerja di hotel ini.


Sepertimana semua hotel Islam yang lain, kemudahan arah kiblat dan sarapan pagi tersedia untuk kami. Di jalan berhadapan hotel ini terdapat pasaraya besar Big C , restoran Islam dan juga gerai roti telur. Hotel ini sangat sesuai dipilih oleh orang Islam jika ke Bangkok. Terdapat juga orang-orang Malaysia lain di hotel ini.

Esoknya sekitar jam 9 pagi kami jalan-jalan di Paragon, Siam Center, World Center dan Pratunam.Tiada apa-apa yang istimewa di sini. Keadaannya sama seperti KLCC  dan PWTC di Malaysia. Di Pratunam memang terdapat banyak gerai murah tetapi peniaga di sini tidak mesra pelanggan. Jadi kami sekadar lihat-lihat sahaja.

Kami mencari jalan untuk menaiki bot di Sungai Menam Chaopraya. Pemandu van tidak begitu cekap dengan jalan di Bangkok dan beberapa kali silap lorong. Namun akhirnya kami tiba di satu jeti penambang. Masa yang diambil untuk menaiki bot ialah selama 3 jam. Jadi, kami mencari masjid untuk sembahyang dan nasib kami sungguh baik kerana di celah-celah bangunan tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid dan banyak gerai makan.

Sekitar jam 4.30 petang, kami memasuki bot yang ditempah. Terasa begitu gementar hati Ummi kerana botnya kecil sahaja dan bukanlah feri seperti yang pernah dinaiki di Sg Mekong. Hendak masuk ke dalam bot pun susah kerana terletak rendah dari paras jeti. Kalaulah jatuh ke dalam Sungai ini, tidak ada harapan untuk hidup. Airnya deras dan ombaknya kuat setiap kali bertemu bot lain, apatah lagi jika ada kapal besar yang lalu.


Bot memasuki sungai kecil dan membawa kami melihat-lihat rumah-rumah tradisional di sepanjang sungai. Ummi kira terdapat 5 buah masjid sepanjang  jalan yang kami lalui. Wad Siam pula memang banyak. Pukul 7.00 malam baru selesai perjalanan kami. Alhamdulillah akhirnya selamat naik ke darat semula.