Jumlah Pengunjung

Sunday, 7 December 2014

BERCUTI DI PADANG DAN BUKIT TINGGI INDONESIA 1

Alhamdulillah, cuti bulan Disember 2014 dapat dimanfaatkan tahun ini dengan jalan-jalan ke Bukit Tinggi yang terkenal dengan keindahan alamnya dan sebagai tempat membeli belah kain sulam.Padang lebih merupakan kota transit ketibaan dan pulang kerana di sini terletak bandara atau airport Minangkabau.
Kami bertolak dari Alor Setar dengan pesawat MAS jam 8.45 pagi seterusnya menaiki pesawat Air Asia ke Padang jam 2.00 petang. Di sana kami disambut oleh Pak Edward Adi yang menjadi pemandu pelancong kami bersama Andrian dan Sandi. Oleh kerana di atas pesawat, kami tidak dibekalkan dengan borang "arrival and Departure", kami mengambil masa juga untuk mengisi borang tersebut sebelum melepasi  pemeriksaan imegresen. Selain itu, kami juga perlu mengisi borang pengisytiharan barangan dari Jabatan Kastam yang perlu diisi bagi setiap keluarga.



Sebaik meninggalkan lapangan terbang kecil  ini seumpama  lapangan terbang Alor Setar kami dibawa dengan bas Pariwisata untuk makan tengahari di Rumah Makan Lamun Ombak. Seperti mana-mana lawatan di Indosesia, kita dihidangkan dengan nasi padang. Semasa meneruskan perjalanan ke Bukit Tinggi, Pak Adi menceritakan sejarah Padang yang didiami oleh orang Pariaman.Padang terletak di Sumatera Barat. Padang mempunyai 135 bukit yang menjadi barisan sepanjang jalan ke Bukit Tinggi. Terdapat dua buah gunung di Bukit Tinggi iaitu Gunung Singgalang dan Gunung Merapi. Nama gunung Merapi sama dengan gunung Merapi di Pulau Jawa. Gunung Merapi di sini juga masih aktif kerana menurut Pak Adi sesekali penduduk di sini mendengar ngauman dari  dalam gunung tersebut.

Dalam perjalanan , kami singgah di Lembah Anai untuk melihat Air terjun yang terletak di pinggir jalan. Sepanjang jalan terdapat anak sungai yang amat jernih. Kami juga melalui Padang Panjang yang merupakan serambi Mekah kerana bandar ini menjadi bandar pendidikan Islam di sini.Menurut Pak Adi selain Acheh Padang Panjang juga terkenal sebagai kota agama kerana beberapa tokoh seperti Hamka pernah belajar agama di sini. Memang di sepanjang jalan, terdapat nama-nama Allah ditulis di papan-papan dengan cantik. Selain itu apabila masuk waktu sembahyang, masjid-masjid memutarkan alunan bacaan Quran yang bersahut-sahutan kerana bilangan masjid dan suraunya yang sangat banyak. Menurut Pak Adi 95  peratus penduduknya beragama Islam.
Jalan ke Bukit Tinggi.
Kami tiba di hotel  Gran Malindo sekitar jam 8 malam waktu Indonesia.


No comments: