Iman bagaikan emas permata, letaknya di dalam jiwa,gemilang warnanya bak cahaya,menyuluh hidup seluruh manusia....... Kata imam Ghazali "Orang islam yang bermusafir itu mendapat 4 perkara iaitu: ilmu, pengalaman, kawan dan rezeki."
Jumlah Pengunjung
Thursday, 1 September 2011
Bapa Yang Kukasihi
Entah mengapa hati teringat bapa. Bapa yang sudah tua tetapi tetap bertenaga menghadapi karenah anak-anak. Bagiku bapa seorang yang hebat. Walaupun bapa tidak tahu membaca dan menulis, tetapi berjaya membesarkan kami 7 beradik. Semua anak yang dihantar bersekolah berjaya dalam pelajaran. Cuma kakak yang sulung belajar setakat darjah 3 kerana ketika itu belum ada sekolah di Kuala Nerang. Satu-satunya sekolah yang ada ketika itu ialah Sekolah kebangsaan di Padang Terap. Aku dapat membayangkan kesungguhan bapa mengayuh basikal dari rumah ke Padang Terap untuk menghantar kakak yang ditumpangkan di rumah "Nyah" untuk memberi pendidikan kepada Kakak. Namun tuntutan kerja dan bilangan kami adik beradik yang ramai menyebabkan Kakak diberhentikan sekolah untuk mengasuh adik-adik terutamanya Aku yang paling kecil ketika itu. Aku sangat terharu dengan pengorbanan yang terpaksa ditanggung oleh Kakak. Walaupun Kakak sebenarnya adalah pelajar terbilang di sekolah ketika itu. Andaikata Kakak dapat meneruskan persekolahannya ketika itu, Aku percaya tentu Kakak sekarang memegang jawatan besar. Tetapi Allah Maha Merancang. Keberadaan Kakak di kampung sebenarnya memberi rahmat yang sangat besar kepada keluarga kami. Dari dulu setiap kali Bapa dan Emak perlukan bantuan , kakak sentiasa ada di sana untuk menghulur tangan. Aku percaya pahala yang kakak dapat sangat besar. Kakak tidak pernah mengira penat lelah dan wang ringgit setiap kali berlaku kenduri di rumah Bapa. Kakaklah yang membantu Emak menanam padi dan menuai di sawah bersama-sama kami, 3 orang adik perempuannya. Hubungan kami berempat amat rapat. Antara kami tidak pernah berkira tenaga dan wang ringgit. Sebab itulah Aku bersedia membantu Kakak membeli tanah sawah dan membantu Wahiba iaitu anak kakak membeli rumah. Apabila emak telah tiada kakak lebih berperanan lagi setiap kali kenduri terutama kenduri kahwin adik-adikku. Aku tidak pasti adakah sudah terbalas budi Kakak oleh kami.
Aku tahu Bapa dan Emak rasa bersalah kerana memberhentikan persekolahan Kakak. Sebab itulah Emak dan Bapa adil semasa pembahagian harta. Kakak mendapat paling banyak harta emak dan bapa kerana pengorbanan Kakak itu. Jelas sekali kedua ibu bapaku amat jauh pandangan mereka.Kami berempat juga diajar untuk tidak menyusahkan ibu bapa. Lantaran itrulah Aku, Kak Nab dan Kak Yam tidak pernah meminta wang daripada mereka. Setiap hari ketika hendak melangkah ke sekolah, Bapa akan memberi wang saku tanpa diminta. Kebiasaan itu menyebabkan jika bapa tidak beri wang pun kami tidak akan meminta. Apa yang berlaku ini bagiku adalah satu pendidikan supaya kita tidak meminta-minta dan adalah kurang wajar seseorang anak meminta wang daripada orang tuanya. Apa yang diberi itu adalah tanggungjawab dan anak tidak sepatutnya "mengarahkan" ibu bapa. Terima kasih Bapa dan Emak kerana mengajar dan memahamkan Aku erti adap dan sopan.
Rasanya kali terakhir Bapa memberi wang kepada Aku ialah ketika Aku di tingkatan enam. Bapa menghantar Aku ke Universiti dengan bekalan wang hasil jualan lembu oleh emak. Selain itu duit simpanan biasiswa semasa di sekolah menengah yang tidak pernah aku gunakan jadi bekalan belanja di Universiti. Aku membuat keputusan tinggal di asrama sepanjang belajar di Universiti kerana belanja makan tidak perlu dikeluarkan. Semuanya dipotong dari biasiswa yang Aku dapat setiap hujung semester ketika di sana. Lagipun kos pengangkutan juga tidak perlu kerana Aku memiliki dua kaki untuk berjalan ke Fakulti dan ke mana-mana pun. Aku takut jika Aku tinggal di rumah sewa, Aku akan menyusahkan Bapa dan Emak kerana mereka mungkin perlu mengeluarkan wang untuk makanan, pengangkutan dan sewa rumah. Terima kasih Emak dan Ayah kerana mengajar Aku menjadi anak yang matang.Kak Nab dan Kak Yam juga sebenarnya berkorban berhenti belajar di tingkatan enam dan memasuki Maktab Perguruan kerana tidak mahu Emak dan Ayah menanggung kos persekolahan kami yang ketika itu enam orang kesemuanya . Aku sangat kagum dengan Emak dan Ayah walaupun orang kampung biasa mampu menyekolahkan enam orang anak serentak. Tentulah pelik jika kita yang bersekolah tinggi, tidak dapat mengurus keluarga sendiri.
Setelah aku dewasa kini, aku semakin berterima kasih kepada emak dan ayah kerana menyekolahkanku. Aku kini sedar sebenar anak-anak tidak berhak meminta lebih dari itu. Tujuan Emak dan Bapa menyekolahkan kami adalah supaya apabila kami besar kami boleh berdikari. Adalah malang kalau kita masih membebankan mereka setelah semua itu kita terima daripada mereka apatah lagi ketika usia mereka menjelang senja. Dalam Islam pun sebenarnya ibu bapa hanya perlu menanggung anak-anak sehingga mereka baligh sahaja bagi lelaki dan bagi perempuan sehingga mereka dikahwinkan. Semoga Allah melindungi kita daripada menjadi anak-anak yang menyusahkan ibu bapa.
Labels:
sekadar renungan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment