Jumlah Pengunjung

Wednesday, 11 January 2012

KENAPA KEDUDUKAN SUAMI LEBIH TINGGI DARIPADA SEORANG AYAH?

Salam sejahtera.
Semasa di Universiti Malaya dulu Ummi ada ambil kertas elektif semasa tahun tiga yang berkaitan dengan perkahwinan. Yalah sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam rumahtangga. Banyaklah bab yang Ummi belajar dari akad nikah, hak suami, hak isteri hinggalah bab hadanah atau penjagaan anak. Jadi bagi sesiapa yang ada di Universiti elok benarlah mengambil kertas ini yang Ummi kira wajib dipelajari sebelum berkahwin.Baru-baru ini pula Ummi terjumpa mengapa kedudukan suami lebih tinggi dari ayah sendiri. Apa yang Ummi tulis di sini sedikit sebanyak sedutan dari halaqah.

Apabila berlakunya akad, maka tanggungjawab suami bukanlah  kecil. Kenapa ya? Sebab, dah berlakunya peralihan tanggungjawab melalui akad nikah. Si ayah dah menyerahkan keselamatan, tanggungan nafkah, agama, pendidikan dan segala soaljawab urusan si anak kepada menantu.
Kesanggupan suami yang tiada kaitan langsung dengan si isteri (sebelum berkahwin) mengambil tanggungjawab menjaga isteri tersebut sedangkan bagi bapa itu memanglah tanggungjawabnya menjaga anak. Jadi secara rasionalnya  kesanggupan suami sangat hebat.

Tugas ibu/bapa yang suatu masa dahulu digalas pula oleh suami kepada isterinya. Memberi nafkah (perlindungan, tempat tinggal, makanan, minuman, pakaian, wang saku dan sebagainya). Ditambah pula tanggungjawab seorang suami yang amanahnya cukup besar perlu dilaksanakan kepada seorang isteri. Malah nafkah ini berterusan walaupun suami isteri itu telah bercerai (na'uzbillah!)  Di dalam al-Quran menyatakan: " Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil maka berikanlah mereka nafkahnya sehingga mereka bersalin. Kemudian jika mereka menyusukan anak-anakmu maka berikanlah kepada mereka upahnya." At-Thalaq:6

Terbukti di sini, peranan suami itu bukan sahaja dalam ikatan pernikahan/rumahtangga malah berlakunya penceraian juga suami (bekas suami) masih memikul tanggungjawab. Isteri diperintahkan taat kepada suami sebab lainnya adalah kerana kelebihan akal, kelebihan beragama, kelebihan kekuatan fizikal, memiliki kewajipan sebagai pencari nafkah, keluar rumah untuk berjihad, serta mampu menghadapi kesulitan-kesulitan hidup.
Bapa menanggung dosa anak perempuannya sebelum anak perempuan nikah. Hal ini adalah kerana salah satu nafkah yang wajib ke atas bapa ialah  memberi didikan agama kepada anaknya. Andainya anak itu tidak menjalankan tanggungjawab agama kerana tidak diajar, maka bapanya yang akan menanggung dosa anak. Hal ini semata-mata disebabkan kesalahan bapanya yang tidak memberi didikan agama. Jadi sebagai balasannya  ketika masih belum bersuami, wajib untuk anak taat pada orang tuanya. Sebab itulah jika anak-anak tidak sembahyang apabila mencapai umur 7 tahun, bapa dibolehkan memukul mereka.Tapi selepas anak perempuan nikah, suaminya pula yang menanggung dosanya, jadi dia wajib taat pada suaminya pula.

Tanggungjawab seorang lelaki sememangnya berat. Sebagai seorang lelaki, dia bukan saja perlu menanggung dosa isterinya saja, malah turut menanggung dosa saudara perempuannya sama ada ibunya, kakaknya atau adik perempuannya, termasuklah juga anaknya. Lihatlah betapa beratnya tanggungjawab seorang yang bergelar lelaki lebih-lebih lagi apabila dia sudah bergelar suami dan ayah kepada anak perempuannya.

Jadi sama-samalah kita memohon keampunan daripada Allah atas kelalaian kita.

No comments: