Jumlah Pengunjung

Tuesday, 10 January 2017

CATATAN KEMBARA ACEH 2016

Penerbangan Fire Fly berlepas dari Pulau Pinang ke Bandara Sultan Iskandar Muda Acheh pada jam  9 pagi. dan mengambil masa 1 jam 45 minit untuk mendarat di bumi tsunami pada tanggal  18 Disember 2016. Hati berdebar-debar kerana baru sahaja terjadi gempa di Pidiejaya Acheh  sekitar dua minggu lepas. Namun kegusaran  sedikit reda apabila pemandu pelancong yang menyambut kami iaitu Pak Karim memberitahu bahawa tempat gempa itu  4 jam perjalanan dari Banda Aceh.

Bandar Udara atau lapangan terbang Aceh dalam bahasa kita merupakan sebuah lapangan terbang yang kecil sahaja. Urusan keluar masuk di sini tidaklah sibuk dan sangat selesa. Kami dibawa ke Kuburan Siron iaitu kubur besar mangsa Tsunami yang berlaku dua belas tahun lalu. Terasa sayu hati apabila membaca catatan peringatan di situ yang menyebut seramai 46 718 jasad disemadikan di sini dalam kubur besar. Kuburan besar ini disebut Kuburan Massal di  Aceh. Hanya bacaan alfatihah dapat disedekahkan kepada mereka. Mereka disemadikan di situ beramai-ramai kerana tidak mampu diurus oleh mangsa yang tinggal. Begitulah kehebatan tsunami sehingga melumpuhkan seluruh sistem yang ada.

bangunan hospital  yang terletak tidak jauh dari Ulele  rosak teruk akibat tsunami



Masjid Baitur Rahman yang utuh sebelum dan selepas tsunami
Seterusnya kami dibawa ke Muzium tsunami namun terpaksa berpatah balik kerana Muzium ditutup kerana bekalan elektrik di Banda Aceh ditutup sementara kerana ada pertunjukkan payung terjun. Katanya  untuk tujuan keselamatan penerjun  andai tersangkut pada kabel elektrik. Oleh itu kami akan datang lagi ke Muzium ini esok atau lusa.Kami seterusnya dibawa ke Rumah Makan Syiah Kuala. Ingat bacaannya bukan Syiah tetapi Siyah atau Syeikh dalam bahasa kita. Suspen juga kami .....


Setelah menikmati makan tengahari, mata terasa berat lalu kami dihantar untuk check in hotel  dan berehat sebentar. Pukul 4 petang, kami dijemput semula oleh Pak Karim dan dibawa ke satu tempat yang teruk dilanda tsunami iaitu di kawasan hospital  pada ketika tsunami melanda. Bangunan hospital masih berdiri kukuh namun  pada hari kejadian tsunami  ramai mangsa yang berada di hospital ini menjadi korban dan dihanyutkan air entah ke mana. hal ini kerana hospital ini berada berhampiran pantai. Dapat kita bayangkan pesakit yang tidak mampu untuk berbuat apa-apa di saat ribut  dan  gelombang air tsunami yang menenggelamkan hospital dua tingkat itu. Perkampungan di sekitar hospital ini musnah teruk dan selepas tsunami hanya 200 orang yang tinggal. Tempat ini tidak jauh letaknya dari pantai Ulele. Di tepi hospital ini juga terdapat Kuburan Massal  dan dibina  bangunan baru yang dipanggil escape building sebagai persiapan tempat berlindung seandainya terjadi lagi tsunami pada masa depan.

Seterusnya kami dibawa ke masjid  Baiturrahman untuk bersolat maghrib.Masjid ini merupakan masjid kebanggaan masyarakat Aceh dan antara masjid yang terselamat ketika tsunami. Sekarang ini dalam proses pembesaran di kawasan luarnya untuk menampung jemaah yang ramai. Payung-payung seumpama masjid Nabawi sedang dibina di sana.Kemudian kami dibawa untuk makan malam di restoran ayam penyet.
Kapal yang tersankut di tepi rumah 2 tingkat ini telah menyelamatkan nyawa mangsa yang berlindung di tingkat atas

Kapal-kapal yang berlabuh di sinilah yang dibawa dan tersangkut di atas rumah dengan izin Allah

Keesokan harinya, kami dibawa pula ke Kampoeng Lampulo untuk melihat kapal di atas rumah. Kami disambut oleh guide yang bertugas di sana dan diceritakan bahawa ketika kejadian anak gadis yang menjadi guide itu berusia  2 tahun. Cerita Mak Kolah yang mengalami sendiri kejadian semasa kapal tersangkut di atas rumah begitu menyentap hati kami. menurutnya ketika kejadian, dia seperti biasa berjualan kuih di tepi pantai. terdengar dua letupan yang kuat di laut dan  berlaku gempa  yang merobohkan rumah-rumah. Selang 5 minit  ombak kuat  mula melanda.Kemudian dia  berlari pulang dan dikejar oleh air gelombang pertama. Dia bersama penduduk kampung melarikan diri dengan naik ke atas rumah dua tingkat. Namun gelombang kedua yang datang hampir menenggelamkan rumah itu menyebabkan dalam ketakutan mereka berdoa supaya Allah mendatangkan pertolongan untuk mereka. Benarlah bahawa doa orang yang terdesak dengan sesungguh hati akan dikabulkan. Dalam keadaan panik itu, tiba-tiba sebuah kapal tersangkut di bahagian tepi rumah itu, lantas semua yang ada dalam rumah itu memanjat ke atas kapal dari koridor tingkat 2 rumah itu. Mereka menyangka kapal itu adalah kapal pasukan penyelamat namun setelah beberapa jam berada di atas kapal itu, barulah mereka sedar kapal itu dihanyutkan oleh arus tsunami ke situ.Bayangkan di saat kita terdesak lalu Allah datangkan pertolongan yang tidak disangka-sangka. Sesungguhnya Maha Suci Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang. Mengalir air mata kami mendengar cerita ini.
Insyaallah ada 2 hari lagi untuk kami menyaksikan  sejarah tsunami di bumi Darussalam ini.


No comments: