Jumlah Pengunjung

Saturday, 25 June 2016

DARI VRELO BOSNE KE JABLANICA DAN MOSTAR

Awal-awal pagi kami  untuk solat subuh iaitu sekitar jam 2.40 am. Waktu subuh masuk awal tetapi panjang iaitu sehingga jam 5 pagi. Jam 9 pagi kami bertolak ke Vrelo Bosne iaitu satu kawasan taman yang indah yang mempunyai air sungai yang bersih. Kejernihan airnya sangat sukar digambarkan. Nampak sampai ke dasar sungai. Vrelo dalam bahasa Bosnia bermaksud sungai.





Tempat seterusnya ialah Jablanica. Ia terletak di tengah perjalanan kami menuju Mostar. Apa yang menarik di sini ialah merasai kelembutan dan keenakan kambing golek yang superb.


Kemudian kami tiba di Mostar. Terus ke sebuah masjid kecil yang terdapat di tepi jalan yang di kelilingi makam syuhada. Masjid Koski Mehmet Pasha  ini telah dibina pada tahun 1618 semasa pemerintahan kerajaan Turki Othamniah. Bertemu imam masjid yang sangat muda orangnya sedang membersihkan kawasan hadapan masjid. Terasa sayu merakamkan fatihah buat pejuang Bosnia. Tergambar bagaimana mereka menentang kekejaman Serbia tanpa persediaan. Rumah-rumah  orang Islam dan masjid dimusnahkan sesuka hati. Satu bencana yang tidak pernah terfikir oleh orang-orang Islam di Bosnia.





Imam masjid ini dan adiknya sedang membersihkan kawasan masjid.












































Kami seterusnya ke Stari Most iaitu satu jambatan menjadi tumpuan pelancong di Mostar. Begitu ramai orang yang melawat jambatan ini terutamanya pelajar-pelajar sekolah.Ada remaja yang mengutip wang daripada orang ramai  kerana akan membuat terjunan dari atas Stari Most tapi tidak terjun-terjun pun.



Setelah dua jam di Stari Most, kami bergerak ke Blagaj. Di sini terdapat perkampungan sufi suatu masa dulu. Air terjun di tepi  perkampungan sufi ini sangat cantik.Di sebelah kanan pintu masuk perkampungan sufi ini terdapat restoran halal. Kami singgah untuk mengeteh dan menikmati wifi percuma.





   
Restoran di atas kawasan air terjun di Tekija.         




Setelah lebih kurang sejam di sini , kami bergerak menuju Montenegro.

Thursday, 23 June 2016

BERKELANA DI NEGARA-NEGARA BALKANS

Tahukah anda di mana negara Balkans? Ummi pun tidak tahu di mana Balkans sehinggalah Ummi tiba di sana pada 30.5.2016  bersamaan hari  Isnin apabila kaki memijak bumi Sarajevo, Bosnia Herzogovina. Sebaik kapal terbang Turkish Airline  mendarat, ternampak rumah-rumah di atas bukit  mengelilingi lapangan terbang. Airportnya kecil sahaja seumpama Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar. Kapal terbang kami itulah satu-satunya kapal terbang yang ada di airport ketika itu. Keadaan sangat tenang.
Bosnia, sebuah negara yang cantik, memiliki  bentuk muka bumi yang indah  dan orang-orang yang sangat cantik dan peramah.

Kami  menjejak kaki ke Bosnia, Montenegro, Albania, Macedonia, Bulgaria, Romania, Hungary, Croatia seterusnya kembali ke Bosnia

Di Sarajevo, kami menginap di homestay yang dimiliki oleh pasangan yang beragama Islam  yang terletak  di atas  bukit berhampiran bandar lama Sarajevo.Dari Homestay kami berjalan kaki ke kawasan masjid  Gazi  Husrez Beg dan laman Bascarsija. Di kawasan ini terdapat banyak kedai-kedai yang menjual cenderamata, alas meja, pakaian, makanan dan sebagainya. Peminta sedekah kanak-kanak yang comel-comel juga banyak di sini.
Di keliling home stay terdapat pokok ceri, pear dan epal. Suasana waktu malam di  sini sangat cantik.Aduh... perkara yang paling suspen ialah ketika van kami melalui jalan sempit  ke homestay. sungguh mendebarkan. Rasanya kluc kereta orang-orang di sini haus semuanya. Jalannya terpacak. Memang kalau ambil lesen kena lulus cemerlang. Kemahiran menaiki  bukit  sangat penting di sini.


homestay di atas bukit sepertimana kebanyakan rumah di Bosnia

Pemandangan dari tingkap home stay.



  Selepas meletak beg, masing-masing tidak sabar untuk menjelajah bandar lama.

paip air wakaf oleh Gazi Huzbeg
Sungai di tengah bandar

Thursday, 16 June 2016

BERCUTI DI TURKI 2016

Assalamualaikum. Selamat berpuasa buat semua pembaca.
Hari ini merupakan hari ke 5, Ummi berpuasa di Malaysia. Ummi sempat berpuasa di luar negara dari hari pertama hingga hari ke-6. Alhamdulillah percutian kali ini  bersempena cuti pertengahan tahun agak lama.

kami bertolak ke Turki pada hari Sabtu sebaik cuti sekolah bermula.iaitu pada 28 Jun 2016 dengan penerbangan Emeriates ke Turki. Penerbangan ini memerlukan kita 'connecting' di Dubai. Kami bertolak pada jam 9.00 paagi dan tiba di Dubai jam 1.00 petang. Sesampai di Dubai terus mengambil flight yang sedia menunggu untuk ke Istanbul. Terasa lega sebaik memasuki pesawat untuk ke Istanbul.

Namun kapal terbang yang mula bergerak untuk berlepas tiba-tiba berhenti. Ada sesuatu yang tidak beres. Sekumpulan anak kapal berkejaran ke baris ke-3 daripada tempat duduk Ummi,. Hati tertanya-tanya apa yang terjadi. Rupa-rupanya seorang penumpang yang marah telah merosakkan tingkap kapal terbang di sebelah tempat duduknya. Akibat perbuatannya, pasukan keselamatan telah menaiki dan kapal terbang dan membawa penumpang ini turun. Tingkap terpaksa dibaiki dan mengambil masa. Penerbangan  hanya dapat diteruskan pada jam 4.00 petang. Akhirnya kami tiba di Istanbul jam 7.00 petang.
Muzium Panorama 1453 - Tahun jatuhnya Konstantinople ke tangan Turki

Bergambar dengan 'askar' sultan Mahmet  yang serius

Dari lapangan terbang Zikri,iaitu ketua rombongan kami membawa kita orang ke sebuah apartmen. Kami bermalam selama 2 malam di home stay ini. Pagi-pagi esoknya, kami breakfast di sebuah restoran  yang terletak tidak jauh dari penginapan kami. Makanannya sudah tentulah roti dengan kuah untuk mencicah yang sangat sedap. Kesemua roti di sini berbentu sampan.


Seterusnya kami menaiki pengangkutan awam yang terkenal di sini iaitu tram. Tram ini samalah seperti lrt di Kuala Lumpur. Bezanya hanyalah landasannya di atas jalan raya. Kami melawat beberapa tempat seperti Panorama 1453 di Topkapi, Masjid Biru  dan  Aya Sofia yang terkenal itu. Seterusnya kami menaiki feri menyusuri Selat Bosforus dan pulang semula ke Istanbul dengan tram bawah laut. Selat Bosforus ini memisahkan  Turki yang terletak di Eropah dengan Turki yang terletak di Asia.
feri di Selat Bosforus

Apa yang paling menarik ialah menyaksikan kehebatan  seni bina kerajaan Turki Uthmaniah yang terkenal hingga kini.Tempat-tempat yang disebut tadi merupakan  tumpuan pelancong asing. Ummi amat kagum dengan usaha Sultan Mehmet AlFatih yang berjaya menawan Konstantinople daripada kerajaan Byzantine. Kekuatan sultan Mehmet dibantu dan tentera-tenteranya  amat bergantung kepada kekuatan jiwa mereka. Menurut catatan di sana, Sultan Mehmat dan tenteranya tidak pernah meninggalkan solat tahajjud.
Sebaik menawan Konstantinople, bandar itu ditukar nama menjadi Islambul. Nama Islambul kemudian ditukar menjadi Istanbul oleh Mustafa Kamal Attarturk.


Aya Sofia ( asal masjid tetapi kini menjadi Muzium)

Friday, 11 December 2015

ZIARAH DI KOTA MEKAH

Pada hari kedua, syarikat pengendali umrah memberi kebebasan untuk jemaah berehat. Tiada aktiviti yang disediakan. Oleh itu, selepas sarapan pagi, Ummi, Ayah dan Iman membuat keputusan untuk ke masjidil haram lagi untuk membuat tawaf sunat. Apabila kita melakukan tawaf sunat, peluang kita untuk masuk bersolat dalam Hijir Ismail lebih besar. Kebetulan pula pada awal pagi sekitar 7 hingga 9, 00 pagi orang tidak begitu ramai di masjidil haram. Hal ini kerana ramai yang melakukan aktiviti ziarah pada sebelah pagi.  Salah satu perkara yang mesti diingat ialah kita hendaklah sedaya upaya berusaha untuk menunaikan solat wajib lima waktu di masjidilharam kerana ganjaran pahala di sini amat besar iaitu 100000 kali ganda berbanding di tempat lain.

Pada hari ke-3,ke-4 dan ke-5 semua  jemaah kumpulan kami dibawa melakukan aktiviti ziarah pada sebelah pagi  dan pulang semula ke masjidilharam sebelum waktu zohor. Ziarah pertama ialah ke Jakranah iaitu miqat umrah bagi yang ingin melakukan umrah. Dalam perjalanan ke sana, kami dibawa melawat kawasan Mina, Muzdalifah, Jamrah, masjid Namirah dan Jabal Rahmah dan   Jabal Tsur. Selepas itu , kami berhenti di masjid Jakranah untuk sembahyang sunat ihram , sunat dhuha seterusnya berniat umrah.
Khemah-khemah di Mina sunyi sepi selepas musim haji.

Di Jabal Tsur




Di Jabal Rahmah
Pada hari berikutnya kami dibawa ke Hudaibiyah. Dalam perjalanan ke sana kami singgah di ladang unta, Muzium dan ladang kurma. Seterusnya kami berhenti di masjid Sumaisi  atau hudaibiyah. Di sinilah berlakunya Perjanjian Hudaibiyah yang kita pelajari dalam sejarah Islam di tingkatan 5 dan 6 dahulu. Di masjid ini jemaah diminta solat ihram dan berniat umrah kerana berada di luar tanah haram.Di belakang masjid ini ada dijual pelbagai jenis barangan. Hati unta ada dijual di sini. Selain itu buah tin yang dijual secara timbang kilo di sini sangat elok dibeli.


Runtuhan masjid Hudaibiyah yang lama
Di hadapan Muzium
Di dalam Muzium terdapat perigi zamzam

Pada hari seterusnya, kami dibawa pula ke Tanaim untuk berniat umrah. Masjid Tanaim asalnya tidaklah jauh dari Mekah tetapi kerana pembinaan jalan baru maka, perjalanan ke sini menjadi jauh. Masjid ini dikenali juga sebagai masjid Aisyah kerana di sinilah Saidatina Aishah berniat umrah setelah suci dari haid pada zaman rasulullah dahulu. Semasa Ummi menunaikan haji dahulu tempat ini selalu kami kunjungi kerana tambang untuk ke sini 5 Rial sahaja dengan Van atau teksi tetapi sekarang ini tambang teksi telah naik ke 50 rial. .


Thursday, 10 December 2015

PENGALAMAN UMRAH MUSIM SEJUK 2015

Alhamdulillah Ummi telah kembali ke tanahair semalam 8.12.2015 setelah berada di tanah suci Mekah dan Madinah selama lebih kurang 12 hari. Kami berangkat ke tanah suci Mekah pada 26 Disember. Bertolak seawal jam 4.00 pagi ke Alor Setar untuk menaiki bas rombongan yang disediakan oleh syarikat umrah yang akan berlepas jam 5.00 pagi.

Tiba di KLIA  pada jam  2.30 petang dan  bersedia untuk check in bagasi  seterusnya menaiki penerbangan Emirates ke Dubai pada jam 7.10 petang. Tiba di Dubai pada jam 1.30 tgh malam dan selepas transit 2 jam bertolak ke Jeddah jam 3.00 pagi dan tiba di sana lebih kurang jam 4.30 pagi.

Sesampai  sahaja di Jeddah bermula satu pengalaman  apabila terpaksa berbaris panjang berjam-jam lamanya untuk mengecop visa dan melalui karenah birokrasi pegawai-pegawai  di terminal ketibaan. Jemaah umrah terpaksa menunggu hampir 5 jam untuk melepasi  proses kelulusan masuk. Hanya 4 kaunter disediakan untuk mengurus ketibaan jemaah di Jeddah. Ummi lihat ada jemaah umrah dari negera-negara Arab, India  dan Malaysia. Jemaah dari negara Arab yang tidak sabar bergaduh sakan dengan pegawai-pegawai Arab Saudi yang bertugas secara  lambat namun pergaduhan mereka menyebabkan proses masuk menjadi semakin lambat. Jemaah dari Mesir pula berusaha memotong barisan jemaah Malaysia.Kesabaran memang sangat mahal di sini. Semoga pada yahun akan datang masalah kelambatan ini dapat diatasi. Kelambatan ini menurut mutawif kami disebabkan sistem baru tentang kemasukan diperkenalkan oleh Arab Saudi pada tahun ini.

Perjalanan dari Jeddah ke Mekah hanya memakan masa lebih kurang 2 jam sahaja. Kami tiba di Mekah hampir jam 3 petang. Terus menikmati makan tengahari dan menjamak solat. Selepas asar Ummi, Ayah dan Iman terus ke Masjidil Haram untuk tawaf umrah dan saie.Ahli-ahli rombongan lain akan dibawa oleh ustaz ke Masjidil Haram selepas solat Isyak. Kami pergi sendiri kerana Ummi dan Ayah mempunyai pengalaman mengerjakan haji pada tahun 2002.

Alhamdulillah setelah melalui perjalanan yang panjang iaitu hampir 38 jam kami berjaya menyelesaikan umrah yang pertama.

Kesimpulan
1. Menaiki penerbangan transit ada baiknya juga kerana tidaklah kita mengalami masalah sakit pinggang duduk lama dalam kapal terbang.
2. Sekiranya urusan kemasukan di Jeddah dilakukan secara profesional dan menggunakan teknologi yang lebih moden seperti di jabatan imegresen kita, urusan akan menjadi lebih cepat  dan kebajikab jemaah lebih terjaga.
3. menyelesaikan tawaf dan saie memakan masa lebih kurang 1 jam setengah.

Saturday, 26 September 2015

MENJEJAK KOMUNITI MUSLIM DI KOH SAMUI

Alhamdulillah pada cuti Pertengahan Penggal kedua 2015 Ummi telah memulakan satu lagi perjalanan di Thailand. Kali ini kami berkereta ke Koh Samui. Koh Samui merupakan sebuah pulau yang terletak disebelah  pantai timur di Wilayah Suratthani. Ummi sudah lama mendengar tentang pulau peranginan ini. Untuk ke sini, kita mesti menggunakan pasport.

Oleh kerana raya Haji  jatuh  pada hari Khamis, kami ada 6 hari untuk bercuti sebelum raya. Jadi kami bertolak pada awal pagi melalui pintu sempadan Durian Burung selepas sarapan. Urusan mengecop pasport senang kerana tiada orang lain kecuali kami. Dengan berpandukan Papa Go, kami bergerak menuju Songkhla dan mengambil jalan tepi laut menuju ke beberapa pekan kecil tepi pantai.  Sepanjang jalan terdapat beberapa perkampungan Islam. Masyarakat Islam di Thailand tinggal di tepi pantai kerana pekerjaan utama kebanyakan daripada mereka ialah nelayan. Kami berhenti untuk minum di sebuah kampung Islam di Thasala. Pemilik kedai ini tidak boleh berbahasa Melayu tetapi faham apabila Ummi meminta teh. Di kedainya ada dijual pelbagai jenis roti dan biskut yang dibuat sendiri oleh orang Islam.

Kami bertembung  kelibat geng motor besar Malaysia yang sedang dalam perjalanan pulang ke Malaysia di Thasala. Mereka  ke Koh Samui sempena cuti Hari Malayasia.Antara bandar besar  yang kami lalui  ialah Nakhon Sitammarat.

Kami berhenti  jam 3.00 ptg di sebuah masjid tepi laut berhampiran  Sichon. Berhampiran masjid ini terdapat chalet yang sangat cantik. Oleh itu, kami membuat keputusan untuk bermalam dulu di sini. Pemiliknya seorang warga Thai bukan Islam tetapi bolehlah berbahasa Inggeris setakat menjawab beberapa soalan seperti harga chalet utk satu malam dan makanan halal di situ. Harga chalet berhawa dingin  di situ murah iaitu 600 bath. Di sebelah chalet terdapat 3 gerai muslim. Mereka bersaudara. Salah seorang daripada mereka boleh berbahasa Melayu kerana pernah belajar di Pattani. Terdapat dua buah masjid di kampung ini.


Keesokannya selepas bersarapan dengan roti canai dan roti pisang, kami bertolak ke Donsak untuk menaiki feri ke Koh Samui. Nasib memang menyebelahi kami kerana sebaik sahaja tiba di Seatran terminal, feri sedang menunggu. Kami terus membeli tiket untuk kereta dan penumpang. Harga untuk kereta ialah 400 bath, harga tambang dewasa ialah 120 bath dan harga kanak-kanak ialah 60 bath. Semasa hendak masuk lorong ke feri  guard mengimbas pasport pemandu kereta sebagai langkah keselamatan.


Ada dua syarikat feri untuk ke Koh Samui iaitu Seatran dan Rajaferry. Terminal berlepas untuk kedua-dua feri berasingan. Masa pelayarannya agak panjang iaitu 1 jam setengah. Kami bertolak jam 10 waktu Malaysia dan tiba di sana jam 11.30 pagi. Feri  yang kami naiki sangat besar, 2 atau 3 kali ganda besar berbanding feri Pulau Pinang. Tingkat bawah untuk kenderaan, tingkat 2  utk penumpang ada pendingin hawa dan ada juga bahagian terbuka untuk yang suka menghayati  angin laut. Tingkat 3 juga tempat duduk terbuka.
Tingkat 3 tiada penumpang kerana bau diesel agak kuat 



Selepas lama menunggu akhirnya nampak berbalam pulau yang dituju

bertembung dengan  feri yang menuju ke Donsak City
Sebaik tiba di Koh Samui , kami mencari  tempat makan. Apalagi kami terus menuju ke Kampung Melayu yang terletak di Tanhon. Di sini terdapat 400 orang dan sebuah masjid. Terdapat sebuah restoran Melayu dan chalet di kampung ini. Harga chalet yang berhawa di gin cuma 500 bath saja. Ramai orang Malaysia yang pernah menginap di sini menurut tuan punya restoran ini.


Monday, 8 June 2015

BERCUTI DI PHUKET @ BUKIT THAILAND 2015

Lama juga Ummi tidak  mengemaskini  blog disebabkan  agak sibuk kebelakangan ini. Rupa-rupanya ada beberapa   pertanyaan  daripada  pembaca tentang beberapa tempat yang diceritakan sebelum ini. Mohon maaf  kerana terlambat menjawab kerana tidak  perasan pun ada  pertanyaan  tersebut.

Kali ini Ummi akan ceritakan  pengalaman Ummi bercuti  di Phuket, sebuah pulau percutian di selatan Thailand  yang sangat  terkenal itu. Kami bertolak  dengan  kereta  ke sana seawal  jam  7.30 pagi  dari  Kuala  Nerang. Sampai di Changlun, Ayah membeli  insurans dan menukar wang di sebuah kedai di kiri jalan  di  tengah  pekan tersebut. Kemudian kami  bersarapan dan  meneruskan perjalanan  ke Pintu sempadan  di Wang Klian Perlis.Setelah mengisi  minyak  penuh  di  stesen  minyak di sana kami  menuju ke Imegresen  untuk mengecop pasport. Suasana di pintu sempadan  sangat tenang. Tiada ramai orang malah ketika mula-mula kami sampai  iaitu  jam 10 pagi, langsung tiada orang. Setelah  mengisi  borang permohonan untuk membawa masuk  kereta barulah nampak sekumpulan  rombongan lain tiba. Ummi memang suka menggunakan pintu sempadan Wang Klian atau Padang Besar kerana semua urusan  cepat.

KRABI
Jam  menunjukkan jam 10.30 pagi ketika kami  melepasi pintu  sempadan. Destinasi  pertama kami ialah  Hasna Palace di Krabi. Kami  telah membuat booking  online hotel berkenaan kerana Ummi pernah melihat hotel tersebut kali pertama Ummi ke Krabi dulu. Dengan harga 90 ringgit Malaysia, Ummi rasa berbaloi kerana hotel itu mempunyai kolam renang. Bolehlah nanti Iman mandi kolam. Di sekeliling hotel juga banyak makanan halal dan letaknya tidak jauh dari masjid besar  Krabi. Azan pun kedengaran  setiap kali masuk  waktu solat. Kami  tiba  di hotel ini jam 3.30  petang. Di tengah-tengah perjalanan tadi, kami ada berhenti makan di sebuah kedai makan  halal di tepi jalan yang  diusahakan oleh seorang bekas  guru besar sekolah. Mula-mula mereka ingat kami  muslim Thai  tetapi  apabila kami  meminta makanan dalam bahasa Inggeris, barulah  cikgu tersebut  sedar  kami orang Malaysia. Dia yang boleh berbahasa Inggeris melayan kami dengan ramah sekali. Siap  menunjukkan  gambar-gambar dia dan keluarganya yang menjadi kebanggaannya. Dia juga menyediakan  tempat solat  untuk pelanggan.

Di  Krabi, kami hanya singgah untuk bermalam dan  menikmati  keindahan pantainya , berehat-rehat  serta  menikmati makanan Thai seperti   roti  pisang  dan nasi  briyani  ayam. Nasi briyani ayam yang kami  nikmati di tepi masjid lain di perkampungan Islam krabi sangat murah dan  sedap. Harganya sekitar 5 ringgit  seorang. Mereka menyebut  teh susu seperti kita semasa menanya kepada kami  apa yang hendak diminum. Itulah sahaja  bahasa Melayu yang mereka tahu di gerai  perkampungan itu.

Tiada orang mandi di Hasna Palace kerana semua mereka hoping Island
                                           
Pantai Napharathara ketika waktu pagi. Di sebelah petang semasa  air surut kami berjalan hingga ke pulau yang nampak di belakang itu. Terdapat begitu banyak anak ketam sesuai dengan nama tempat ini Krabi
Pantai Nopharathara di Krabi memang cantik. Tambahan pula Jun bukan peak season. Kami tidak hoping island kerana telah melakukan aktiviti itu dalam kunjungan pertama dulu.
PHUKET
Pukul 12.00 waktu  Malaysia, kami check out dan meneruskan destinasi ke Phuket. Jalan raya di Thailand  memang  senang kerana kurang  kenderaan dan luas. Kami berhenti makan tengahari di sebuah  kedai makan di perkampungan Islam di tepi jalan.Sepanjang jalan ke Phuket, banyak sekali masjid namun  mereka tidak  tahu  berbahasa Melayu sebaliknya  boleh  berbahasa  Inggeris  untuk  perkataan-perkataan mudah. Tiada  masalah setakat  memahami  apa yang kita  ingin makan dan harga makanan.
Antara masjid yang dapat dilihat di tepi jalan ke Phuket

Antara  kedai tepi jalan yang kami singgah

Masjid di tepi kedai makan
        
Pulau  Phuket  disambung  dengan tanah besar Wilayah  Phanga  oleh Jambatan Sarasin. Di tepi jambatan hala balik terdapat penjual barang-barang  untuk buah tangan. Ummi sarankan jika ingin membeli t-shirt dan key chain patut beli di sini kerana harganya murah.
Jambatan lama ditutup dan jambatan baru sahaja digunakan sekarang 

Sebaik  melepasi jambatan, terdapat kompleks police checkpoint. Kami  menuju ke Than Thip Hotel yang telah ditempah  secara online. Hotel ini terletak berhampiran pantai Patong.

Dah sampai  di Phuket
Pemandangan laut yang sangat indah semasa melalui jalan ke Kamala.

Hawa Kitchen yang menjadi kedai makan pilihan kami berulangkali kerana layanan yang mesra, murah dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu
Papan tanda yang jelas
Hotel Islam yang ada di Patong. Lain kali kalau ke sana akan tinggal di sini.
Pantai  Kamala.  Di sini terdapat banyak masjid dan perkampungan Islam. Kalau tahu  lebih awal, Ummi tentu  pilih untuk mencari hotel di sini. Pantainya bersih, tiada omputih bersidai. makanan halal senang.
Pantai Patong yang terkenal  dan  menjadi pilihan omputih
Than Thip Resprt

Pemandangan di view point Promthep
Promthep view point

Berhent untuk  mandi laut di pertengahan jalan dari Promthep ke view point Karon

Masjid Nurul Islam di Patong   

Kesimpulan*
1. Phuket  adalah sebuah pulau yang berbukit. Memandu di sana seumpama memandu di BalikPulau Penang.
2. Terdapat  beberapa pantai hebat seperti  Patong, Rawai, Surin, Kata, Kamala, Naka, Kilim  dan sebagainya.
3. Kamala mempunyai  penduduk  Islam yang paling ramai.
4. Patong mempunyai  beberapa masjid namun terlalu ramai  pelancong barat.
5.Harga hotel  berpatutan  dan sangat murah berbanding negara kita. Layanan kaunter juga baik.
6. Keindahan  alamnya tidak dapat dinafikan dan pantainya  sangat bersih. Pasirnya sangat  halus.
7. Tiada masalah bahasa kerana bahasa Inggeris boleh difahami di sini.