Jumlah Pengunjung

Tuesday, 24 January 2012

JOM LIHAT KEHIDUPAN NELAYAN

Kelmarin Ummi, Ayah dan Iman memenuhi undangan kenduri kahwin. Ada 3 rumah. Pagi-pagi Ayah dan Iman balik ke pondok untuk tolong siang daging kenduri di sana. Pukul 12.00 pergi kenduri di rumah cikgu Kolej Mara di Alor Setar. Kemudian ke rumah kawan Ayah di Tikam Batu pula. Oleh kerana dah sampai Tikam batu, kami terus cari tempat untuk istirehat di sana. Disebabkan Pantai merdeka resort dah penuh, kami cari chalet. Akhirnya kami temui chalet di Kampung Pulau Sayak.Sewanya murah saja.

Pagi-pagi lagi Ummi bawa Iman ke tepi pantai. Tengok kehidupan nelayan. Punyalah ramai orang pagi ni mengutip siput. Sampaikan anak-anak kecil berusia 1 dan 2 tahun pun turut serta. Dapatlah Ummi ajar Iman bagaimana dalam kehidupan ini  kita tidak boleh terlalu manja. Kita perlu dilatih sejak kecil untuk memahami erti  susah payah. Siput dikutip semasa air surut di celah-celah batu. Begitulah kekuasaan Tuhan. Setiap kejadian ada gunanya.




Dalam perjalanan pulang, kami singgah melayan mee udang dan melihat pusat pendaratan ikan di Kuala Muda. Kemudian terus ke Alor Setar untuk menghadiri kenduri kahwin  Syikin, guru baru Jabatan Bahasa sekolah Ummi. Tahniah kepada Syikin dan semoga berbahagia.

Saturday, 21 January 2012

CUTI DATANG LAGI

Minggu ini sekolah Ummi cuti 9 hari. Mula-mula cadang nak ikut pakej ke Patani dan Yala bersama koperasi Belia Muslimin tapi rasa takut pula setelah membaca blog-blog pengalaman orang yang pernah ke sana. Apalagi setelah membaca akhbar PataniPost. Kata mereka setiap 1 km ada sekatan jalan raya dan tentera selalu diserang.
Jadi  Iman ajak Ummi ke tempat biasa iaitu Hotel Naza Pulau Pinang. Tempat ini  sentiasa dalam ingatan Iman kerana sejak kecil  destinasi inilah yang selalu kami kunjungi. Namun sekarang sewa hotel telah naik. Semalam sewanya 150  dan hari ini naik 180. Maklumlah gaji kakitangan awam pun dah naik. Lagipun ramai pelancong luar sekarang. Semalam ramai pelancong  dari Indonesia, arab dan Barat yang kami temui. Puaslah juga Iman mandi di Pantai dan mandi  di kolam.





Namun cuti banyak lagi ni. Kemanakah hendak dituju?

Wednesday, 18 January 2012

ALLAH YANG MEMBOLAK BALIKKAN HATI.

Yaa Muqallibal Quluub, Tsabbit Qalbi ‘Ala Diinik
Artinya: “Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, teguhkan hati kami di atas agama-Mu.” (HR. Ahmad dan at Tirmidzi)
Doa di atas perlu menjadi amalan setiap di antara kita kerana kita bimbang hidayah yang Allah berikan kepada kita tercabut dari hati kita. Hidayah boleh tercabut dari hati kita apabila ada syirik, nifa', riya', takbur, bidaah dan penyakit-penyakit hati yang lain.Ya Allah janganlah engkau sesatkan kami setelah kami beriman.

Menurut Ustaz dalam kuliah agama yang Ummi hadiri semalam di Masjid Sultanah, syirik ada dalam hati kita jika;
1. kita merasakan ada manusia yang berkuasa menentukan nasib kita. Misalnya takut kepada majikan kerana dia yang menentu kedudukan dan jawatan  kita.
2. kita merasa rezeki yang kita dapat ini bergantung kepada jawatan atau kerja tertentu. Misalnya yakin kerja tetap dengan kerajaan lebih terjamin rezeki  berbanding kerja sendiri. Sedangkan yang memberi rezeki itu adalah AllAH.

Tersentuh hati Ummi kerana kadang-kadang hati kita  lalai dan silap tentang  rezeki  yang kita dapat.

Wednesday, 11 January 2012

KENAPA KEDUDUKAN SUAMI LEBIH TINGGI DARIPADA SEORANG AYAH?

Salam sejahtera.
Semasa di Universiti Malaya dulu Ummi ada ambil kertas elektif semasa tahun tiga yang berkaitan dengan perkahwinan. Yalah sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam rumahtangga. Banyaklah bab yang Ummi belajar dari akad nikah, hak suami, hak isteri hinggalah bab hadanah atau penjagaan anak. Jadi bagi sesiapa yang ada di Universiti elok benarlah mengambil kertas ini yang Ummi kira wajib dipelajari sebelum berkahwin.Baru-baru ini pula Ummi terjumpa mengapa kedudukan suami lebih tinggi dari ayah sendiri. Apa yang Ummi tulis di sini sedikit sebanyak sedutan dari halaqah.

Apabila berlakunya akad, maka tanggungjawab suami bukanlah  kecil. Kenapa ya? Sebab, dah berlakunya peralihan tanggungjawab melalui akad nikah. Si ayah dah menyerahkan keselamatan, tanggungan nafkah, agama, pendidikan dan segala soaljawab urusan si anak kepada menantu.
Kesanggupan suami yang tiada kaitan langsung dengan si isteri (sebelum berkahwin) mengambil tanggungjawab menjaga isteri tersebut sedangkan bagi bapa itu memanglah tanggungjawabnya menjaga anak. Jadi secara rasionalnya  kesanggupan suami sangat hebat.

Tugas ibu/bapa yang suatu masa dahulu digalas pula oleh suami kepada isterinya. Memberi nafkah (perlindungan, tempat tinggal, makanan, minuman, pakaian, wang saku dan sebagainya). Ditambah pula tanggungjawab seorang suami yang amanahnya cukup besar perlu dilaksanakan kepada seorang isteri. Malah nafkah ini berterusan walaupun suami isteri itu telah bercerai (na'uzbillah!)  Di dalam al-Quran menyatakan: " Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil maka berikanlah mereka nafkahnya sehingga mereka bersalin. Kemudian jika mereka menyusukan anak-anakmu maka berikanlah kepada mereka upahnya." At-Thalaq:6

Terbukti di sini, peranan suami itu bukan sahaja dalam ikatan pernikahan/rumahtangga malah berlakunya penceraian juga suami (bekas suami) masih memikul tanggungjawab. Isteri diperintahkan taat kepada suami sebab lainnya adalah kerana kelebihan akal, kelebihan beragama, kelebihan kekuatan fizikal, memiliki kewajipan sebagai pencari nafkah, keluar rumah untuk berjihad, serta mampu menghadapi kesulitan-kesulitan hidup.
Bapa menanggung dosa anak perempuannya sebelum anak perempuan nikah. Hal ini adalah kerana salah satu nafkah yang wajib ke atas bapa ialah  memberi didikan agama kepada anaknya. Andainya anak itu tidak menjalankan tanggungjawab agama kerana tidak diajar, maka bapanya yang akan menanggung dosa anak. Hal ini semata-mata disebabkan kesalahan bapanya yang tidak memberi didikan agama. Jadi sebagai balasannya  ketika masih belum bersuami, wajib untuk anak taat pada orang tuanya. Sebab itulah jika anak-anak tidak sembahyang apabila mencapai umur 7 tahun, bapa dibolehkan memukul mereka.Tapi selepas anak perempuan nikah, suaminya pula yang menanggung dosanya, jadi dia wajib taat pada suaminya pula.

Tanggungjawab seorang lelaki sememangnya berat. Sebagai seorang lelaki, dia bukan saja perlu menanggung dosa isterinya saja, malah turut menanggung dosa saudara perempuannya sama ada ibunya, kakaknya atau adik perempuannya, termasuklah juga anaknya. Lihatlah betapa beratnya tanggungjawab seorang yang bergelar lelaki lebih-lebih lagi apabila dia sudah bergelar suami dan ayah kepada anak perempuannya.

Jadi sama-samalah kita memohon keampunan daripada Allah atas kelalaian kita.

Friday, 6 January 2012

BUNGA ORKID

Pokok bunga orkid yang Ummi tanam kini rajin mengeluarkan bunga. Alhamdulillah berjaya juga usaha Ummi dengan hobi baru ini. Betul kata orang pokok orkid akan berbunga kalau selalu dibelai. Ummi menyiram pokok orkid 2 kali sehari, membaja dengan baja semburan dan kerap juga menyiram dengan air basuhan beras dan basuhan ikan. Jadi untuk yang berminat tetapi masih ragu-ragu Ummi ingin katakan bahawa menanam orkid  supaya berbunga bukanlah sukar sangat. Kalau ada kesungguhan, masa dan minat bolehlah mencuba hobi ini.Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
                                                 Ada pokok yang baru mengeluarkan kudup
       
 lagi kudup baru


                                                            Yang ini berbunga putih.

Friday, 23 December 2011

BUDI

Ada padi adalah beras,
   Bertanak nasi periuk tembaga,
Ada budi adalah balas,
   Orang berbudi kita berbahasa.

Tanam pisang tanamlah ubi,
   Ubi ditanam buatkan batas,
Banyak orang bertanam budi,
   Dalam ingatan hendaklah dibalas.

Kadang-kadang Ummi terfikir kenapa tidak ramai manusia sekarang berpegang kepada pantun di atas. Masyarakat Melayu sebenarnya amat halus perasaannya. Setiap kita diajak supaya sentiasa berusaha berbuat baik dan menolong orang lain. Sebagai muslim kita wajib membantu saudara kita yang berada dalam kesusahan.
Orang yang menerima budi juga wajar berterima kasih. Sekurang-kurangnya mendoakan agar orang yang berbudi kepadanya diberi rahmat oleh Allah. Sekiranya tidak mampu membalas kebaikan dengan wang ringgit, balaslah dengan tenaga atau kata-kata yang baik. Janganlah pula menjadi seperti melepaskan anjing tersepit. kita membantu orang di saat dia susah tetapi kemudian kebaikan kita dibalas dengan kejahatan.

Pengalaman Ummi kadang-kadang menyebabkan Ummi terfikir betapa tidak prihatinnya kebanyakan manusia sekarang. Tidak ramai orang yang sanggup bersusah untuk orang lain sedangkan 'orang lain itu' pernah bersusah-susah untuk mereka. Mungkin  iman kita tidak begitu mantap, tapi hati selalu mengingatkan bahawa apabila kita membuat kebaikan, buatlah semata-mata lillahhitaala.... maka jiwa terasa tenang.

Saturday, 10 December 2011

NASI KUKUS PANAS KARI KAMBING DI RESTORAN KELANTAN HATYAI


                                                                  Bermalam di Kangar
Kali ini Ummi ingin paparkan di sini tempat makan yang bagi Ummi sangat bagus yang terdapat di Hatyai. Namanya Restoran Kelantan. Tempatnya tidak jauh dari pusat membeli belah dan hotel-hotel besar di pusat tumpuan ramai dalam bandar Hatyai. Kebanyakan pelancong Malaysia menginap di hotel-hotel seperti Hotel Plaza, Lee Garden, Regency dan lain-lain. Sebenarnya kami terjumpa restoran ini ketika mencari kedai makan yang pernah kami singgah 2 tahun lepas ketika mengikut pakej. Namun kedai itu sudah tiada sebaliknya restoran ini pula yang kami jumpa. Mengikut pemiliknya kedai ini baru dibuka 3 bulan. Sangat bersih dan menarik dari segi hiasan dalamannaya.

                                                     Dalam Restoran
 
                                                              Penjual Bunga
Sekarang Hatyai dah jadi pekan yang selalu kami kunjungi. Ayah dah pandai selok belok jalan di sini. Kali terakhir kami pergi, kami masuk melalui jalan Padang Besar yang dieja Padang Beysa oleh sign board Siam. Kebetulan kami balik tengok rumah yang sudah siap direnovate di Kangar. Pintu masuk sempadan dari Padang Besar tenang, selesa dan tidak ramai orang. Sangat berbeza dengan Bukit Kayu Hitam yang sangat sibuk. Mungkin kerana banyak treler dan pelancong yang masuk ikut pintu ini yang bersambung dengan Highway Utara Selatan. Oleh  kerana Padang Besar pintu sempadan yang paling awal, jalan raya sebelah Siam luas dan cantik. Dari Padang Besar kita kena ke Sadao untuk ke Hatyai menyebabkan jalannya lebih jauh berbanding masuk melalui Bukit Kayu Hitam.

Berbanding dengan Satun, kawasan ini  di sepanjang jalan tidak ramai  orang Islam. Namun  Ummi nampak ada 2 masjid dalam  Pekan Padang Besar Siam. Ummi beli beras Siam yang wangi dan gebu di Pekan Padang Besar Siam.

Di Hatyai kali ini, kami naik tut tut. Ayah parking kereta di tempat parking pasaraya dan kami ke Bazar dengan bayaran 40 bath atau 4 ringgit. Bazar ini  menjual bermacam-macam barangan. Macam pekan Rabu di Alor Setar.


Untuk sesiapa yang teringin ke Siam, untuk penduduk di negeri yang bersempadan dan beralamat dalam negeri Kedah, Perlis , Perak dan Kelantan buatlah border pass dengan harga RM10  sahaja. Kalau nak murah satu border pass letak semua nama ahli keluarga. Untuk orang yang tidak beralamat di Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan, Ummi cadangkan buatlah pasport berkumpulan. Kalau PakSu Di nak ikut ke sana, kena buat pasport berkumpulan untuk satu keluarga sebab ahli-ahli keluarga Pak Su Die tak boleh nak buat boder pass. Harga pasport berkumpulan murah saja. Tetapi pasport berkumpulan sekarang hanya dibenarkan untuk ke Siam dan Singapura sahaja.Sampai jumpa lagi.....