Jumlah Pengunjung

Friday, 16 March 2012

IMAN DI BANDAR PELANCONGAN DAN MARITIM.

Di manakah bandar pelancongan dan maritim? Ketika menunggu bas  untuk balik di stesen bas Sri Manjung, Ummi ternampak bas inter bandar di sini yang dikenali sebagai bas rakyat mengiklankan slogan tadi. Jadi bandar Lumut, Manjung dan Setiawan merupakan  rangkaian bandar yang dipromosikan sebagai bandar pelancongan dan maritim. Betullah sebab di sini kegiatan  ekonomi berasaskan pelancongan dan laut penting.  Banyak  hotel, chalet dan rumah penginapan, pantai, tempat rehat, kedai cenderamata, kedai menjual hasil laut dan terminal feri  serta  Marina di sini.

Kali pertama Ummi ke Pangkor ialah pada tahun 1987 untuk menghadiri perkahwinan sahabat Ummi yang sama-sama di Universiti Malaya. Rakan itu pun kini dah jadi Datin dan orang besar di Perak.Sangat berbeza Lumut sekarang berbanding waktu itu.

Iman dibawa oleh Pak Cik Karg meronda-ronda di sini. Jadi di sini Ummi letakkan beberapa gambar untuk kenang-kenangan. Kepada Pak Cik Karg dan Mak Cik Badariah,Ummi ucapkan terima kasih kerana susah payah melayan karenah Iman. Harapan Ummi, Iman akan lebih mengenali saudara-mara dan dapat merasakan ikatan kekeluargaan yang wujud antara kita.Ilalliqa'. Maassalamah






.

Tuesday, 13 March 2012

JANGANLAH BEGITU.......

Dua hari lepas Ummi menggunakan pengangkutan awam. Telah lama rasanya Ummi tidak menggunakan pengangkutan awam yakni bas. Ummi terpaksa menggunakan bas untuk menghantar Iman yang beria-ia sangat hendak ke rumah Pak Cik Karg di Manjung. Ayah tak cuti. Ummi takut nak drive sendiri. Jauh juga perjalanan dari Alor Setar  ke sana. Jalan pula bukannya highway.

Semasa berhenti di stesen Butterworth, Ummi bawa Iman masuk bilik air. Ummi rasa sedih sangat tengok keadaan bilik air di stesen bas ini. Punyalah ramai orang tapi bilik air kecil saja. Sangat berbeza dengan bilik air di lapangan terbang sedangkan kita sama-sama rakyat Malaysia.


Iman duduk di atas beg kerana kerusi terhad
Setelah Iman selesai menggunakan bilik air, Ummi pula berbaris menunggu giliran. Di depan Ummi, ada 2 orang perempuan. Seorang perempuan muda sekitar 20-an dan seorang perempuan pertengahan usia. Perempuan muda itu putih melepak dan Ummi kira bergaya juga. Tiba-tiba air paip terpercik keluar dengan tidak disangka-sangka. Mungkin pengguna di dalam tidak sengaja membuka paip dengan kuat. Si perempuan muda menjerit " Orang di dalam ni, setan betul". Astaghfirullah hal azim....Rupanya cantik tetapi bahasanya menunjukkan amat rendah martabatnya. Siapakah ibu bapanya, di manakah sekolahnya dan siapa pula gurunya?
Kasihan Iman...Di  sekolah dia diajar bahawa 'alkalimatu ttoyyibatu sodaqoh'. Maknanya kata-kata yang baik itu sedekah. Kalau boleh Ummi tidak mahu lagi berada di tempat seperti ini. Lebih baik memandu sendiri dan berhenti di tempat yang betul seperti di masjid. Hati kita lebih tenang dan jiwa kita sentiasa ingat akan Allah. Semoga perempuan tadi akan mendapat rahmat Allah.

Sunday, 11 March 2012

CUTI SEKOLAH PERTENGAHAN PENGGAL PERTAMA 2012

Cuti datang lagi.  Iman berkesempatan jalan-jalan lagi. Sekali lagi kami ke Songkhla. Kali ini Iman pergi ke  Tang Kuan Hill, Municipal Park dan Ko Yo atau Yo Island.

Untuk sampai ke puncak Tang Kuan Iman naik lif. Lif di sini lain dari yang lain. Lif ini mendaki bukit.  macam keretapi kabel di Bukit Bendera. Tapi kita boleh nampak kabel yang naikkan dan turunkan kita sebab ada cermin. Dari atas puncak bukit kita boleh nampak seluruh bandar Songkhla. Harga tiket untuk naik murah sangat 20 bath dewasa dan 10 bath untuk kanak-kanak.

bergambar di depan Akuarium


                 
merpati jinak di depan pintu masuk

Kemudian Iman naik feri ke Yo Island. Ferinya simple sangat. Muat lebih kurang sepuluh  buah kereta dan beberapa bmotosikal. Namun rasa menarik sangat. Perjalanannya lebih kurang 10 minit sahaja. setelah sampai ke Yo Island kami nampak ramai juga orang Islam di sini. Ada jumpa 2 buah masjid. Dari Pulau ini ayah drive kereta keluar ikut jambatan Tinsolanond. Jambatan ini menghubungkan Pulau dengan Segenting Kra. Ada 2 jambatan dengan nama yang sama.
                                                       Di atas feri ke Ko Yo

Kami bermalam di Hotel Grand Plaza di heart of City di Hatyai. Makan malam di Restoran Hamid. Sarapan pula di Restoran Kelantan. Oleh kerana ada pembaca yang bertanya di mana letaknya  restoran ini, Ummi  ingin beri panduan. Kalau dari Lee Garden atau Hotel Plaza jalan  kaki ke arah kiri, kemudian masuk simpang yang pertama hingga habis lorong. Jumpa simpang 4. Di depan simpang 4 jelas tertulis nama restoran. Dekat saja. Nama jalannya Ummi tak ingat.

Selepas check out hotel, kami ke Municipal Park. Di sini ada ice dorm dan banyak tempat untuk dilawati. Ice Dome ni macam bandar i-City Syah Alam. Oleh kerana, Iman dah biasa masuk di i-City dulu, kami tak minat lagi nak masuk di sini. Ayah drive kereta ke atas bukit yang entah namanya itu hingga sampai ke tempat untuk menaiki kereta kabel. Di  sini  juga ada balai cerap. Ramai pelancong yang menunggu giliran untuk menaiki kereta kabel. harga tambang dewasa 200 bath seorang dan kanak-kanak free sahaja. Oleh kerana kami datang bukan dalam kumpulan kami dipanggil naik awal. Alhamdulillah tidak perlu menunggu lama. Pengalaman di sini berbeza sedikit daripada pengalaman menaiki gondola di Langkawi Geopark. Di sini lebih gayat kerana kabelnya kecil dan tempat duduk semuanya lutsinar. Dari atas bukit kita boleh nampak keindahan bandar Hatyai.
                                               menunggu kereta kabel
                                                 Di hadapan balai cerap


Pendek kata bagi Ummi berbaloi kalau kita ke Songkhla kerana di sini ada macam-macam tempat untuk dilawati. Dekat dan menjimatkan.

Tuesday, 24 January 2012

JOM LIHAT KEHIDUPAN NELAYAN

Kelmarin Ummi, Ayah dan Iman memenuhi undangan kenduri kahwin. Ada 3 rumah. Pagi-pagi Ayah dan Iman balik ke pondok untuk tolong siang daging kenduri di sana. Pukul 12.00 pergi kenduri di rumah cikgu Kolej Mara di Alor Setar. Kemudian ke rumah kawan Ayah di Tikam Batu pula. Oleh kerana dah sampai Tikam batu, kami terus cari tempat untuk istirehat di sana. Disebabkan Pantai merdeka resort dah penuh, kami cari chalet. Akhirnya kami temui chalet di Kampung Pulau Sayak.Sewanya murah saja.

Pagi-pagi lagi Ummi bawa Iman ke tepi pantai. Tengok kehidupan nelayan. Punyalah ramai orang pagi ni mengutip siput. Sampaikan anak-anak kecil berusia 1 dan 2 tahun pun turut serta. Dapatlah Ummi ajar Iman bagaimana dalam kehidupan ini  kita tidak boleh terlalu manja. Kita perlu dilatih sejak kecil untuk memahami erti  susah payah. Siput dikutip semasa air surut di celah-celah batu. Begitulah kekuasaan Tuhan. Setiap kejadian ada gunanya.




Dalam perjalanan pulang, kami singgah melayan mee udang dan melihat pusat pendaratan ikan di Kuala Muda. Kemudian terus ke Alor Setar untuk menghadiri kenduri kahwin  Syikin, guru baru Jabatan Bahasa sekolah Ummi. Tahniah kepada Syikin dan semoga berbahagia.

Saturday, 21 January 2012

CUTI DATANG LAGI

Minggu ini sekolah Ummi cuti 9 hari. Mula-mula cadang nak ikut pakej ke Patani dan Yala bersama koperasi Belia Muslimin tapi rasa takut pula setelah membaca blog-blog pengalaman orang yang pernah ke sana. Apalagi setelah membaca akhbar PataniPost. Kata mereka setiap 1 km ada sekatan jalan raya dan tentera selalu diserang.
Jadi  Iman ajak Ummi ke tempat biasa iaitu Hotel Naza Pulau Pinang. Tempat ini  sentiasa dalam ingatan Iman kerana sejak kecil  destinasi inilah yang selalu kami kunjungi. Namun sekarang sewa hotel telah naik. Semalam sewanya 150  dan hari ini naik 180. Maklumlah gaji kakitangan awam pun dah naik. Lagipun ramai pelancong luar sekarang. Semalam ramai pelancong  dari Indonesia, arab dan Barat yang kami temui. Puaslah juga Iman mandi di Pantai dan mandi  di kolam.





Namun cuti banyak lagi ni. Kemanakah hendak dituju?

Wednesday, 18 January 2012

ALLAH YANG MEMBOLAK BALIKKAN HATI.

Yaa Muqallibal Quluub, Tsabbit Qalbi ‘Ala Diinik
Artinya: “Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, teguhkan hati kami di atas agama-Mu.” (HR. Ahmad dan at Tirmidzi)
Doa di atas perlu menjadi amalan setiap di antara kita kerana kita bimbang hidayah yang Allah berikan kepada kita tercabut dari hati kita. Hidayah boleh tercabut dari hati kita apabila ada syirik, nifa', riya', takbur, bidaah dan penyakit-penyakit hati yang lain.Ya Allah janganlah engkau sesatkan kami setelah kami beriman.

Menurut Ustaz dalam kuliah agama yang Ummi hadiri semalam di Masjid Sultanah, syirik ada dalam hati kita jika;
1. kita merasakan ada manusia yang berkuasa menentukan nasib kita. Misalnya takut kepada majikan kerana dia yang menentu kedudukan dan jawatan  kita.
2. kita merasa rezeki yang kita dapat ini bergantung kepada jawatan atau kerja tertentu. Misalnya yakin kerja tetap dengan kerajaan lebih terjamin rezeki  berbanding kerja sendiri. Sedangkan yang memberi rezeki itu adalah AllAH.

Tersentuh hati Ummi kerana kadang-kadang hati kita  lalai dan silap tentang  rezeki  yang kita dapat.

Wednesday, 11 January 2012

KENAPA KEDUDUKAN SUAMI LEBIH TINGGI DARIPADA SEORANG AYAH?

Salam sejahtera.
Semasa di Universiti Malaya dulu Ummi ada ambil kertas elektif semasa tahun tiga yang berkaitan dengan perkahwinan. Yalah sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam rumahtangga. Banyaklah bab yang Ummi belajar dari akad nikah, hak suami, hak isteri hinggalah bab hadanah atau penjagaan anak. Jadi bagi sesiapa yang ada di Universiti elok benarlah mengambil kertas ini yang Ummi kira wajib dipelajari sebelum berkahwin.Baru-baru ini pula Ummi terjumpa mengapa kedudukan suami lebih tinggi dari ayah sendiri. Apa yang Ummi tulis di sini sedikit sebanyak sedutan dari halaqah.

Apabila berlakunya akad, maka tanggungjawab suami bukanlah  kecil. Kenapa ya? Sebab, dah berlakunya peralihan tanggungjawab melalui akad nikah. Si ayah dah menyerahkan keselamatan, tanggungan nafkah, agama, pendidikan dan segala soaljawab urusan si anak kepada menantu.
Kesanggupan suami yang tiada kaitan langsung dengan si isteri (sebelum berkahwin) mengambil tanggungjawab menjaga isteri tersebut sedangkan bagi bapa itu memanglah tanggungjawabnya menjaga anak. Jadi secara rasionalnya  kesanggupan suami sangat hebat.

Tugas ibu/bapa yang suatu masa dahulu digalas pula oleh suami kepada isterinya. Memberi nafkah (perlindungan, tempat tinggal, makanan, minuman, pakaian, wang saku dan sebagainya). Ditambah pula tanggungjawab seorang suami yang amanahnya cukup besar perlu dilaksanakan kepada seorang isteri. Malah nafkah ini berterusan walaupun suami isteri itu telah bercerai (na'uzbillah!)  Di dalam al-Quran menyatakan: " Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil maka berikanlah mereka nafkahnya sehingga mereka bersalin. Kemudian jika mereka menyusukan anak-anakmu maka berikanlah kepada mereka upahnya." At-Thalaq:6

Terbukti di sini, peranan suami itu bukan sahaja dalam ikatan pernikahan/rumahtangga malah berlakunya penceraian juga suami (bekas suami) masih memikul tanggungjawab. Isteri diperintahkan taat kepada suami sebab lainnya adalah kerana kelebihan akal, kelebihan beragama, kelebihan kekuatan fizikal, memiliki kewajipan sebagai pencari nafkah, keluar rumah untuk berjihad, serta mampu menghadapi kesulitan-kesulitan hidup.
Bapa menanggung dosa anak perempuannya sebelum anak perempuan nikah. Hal ini adalah kerana salah satu nafkah yang wajib ke atas bapa ialah  memberi didikan agama kepada anaknya. Andainya anak itu tidak menjalankan tanggungjawab agama kerana tidak diajar, maka bapanya yang akan menanggung dosa anak. Hal ini semata-mata disebabkan kesalahan bapanya yang tidak memberi didikan agama. Jadi sebagai balasannya  ketika masih belum bersuami, wajib untuk anak taat pada orang tuanya. Sebab itulah jika anak-anak tidak sembahyang apabila mencapai umur 7 tahun, bapa dibolehkan memukul mereka.Tapi selepas anak perempuan nikah, suaminya pula yang menanggung dosanya, jadi dia wajib taat pada suaminya pula.

Tanggungjawab seorang lelaki sememangnya berat. Sebagai seorang lelaki, dia bukan saja perlu menanggung dosa isterinya saja, malah turut menanggung dosa saudara perempuannya sama ada ibunya, kakaknya atau adik perempuannya, termasuklah juga anaknya. Lihatlah betapa beratnya tanggungjawab seorang yang bergelar lelaki lebih-lebih lagi apabila dia sudah bergelar suami dan ayah kepada anak perempuannya.

Jadi sama-samalah kita memohon keampunan daripada Allah atas kelalaian kita.